LATEST

Lebih 7,500 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran PRN Sarawak

Lebih 7,500 pegawai, anggota polis pastikan kelancaran PRN Sarawak

mdroji@bh.com.my

Baca juga: Sedekah Dalam Islam: Amalan Kecil Yang Besar Ganjarannya

Kuching: Polis Sarawak mengerah kira-kira 7,500 anggota bagi memastikan proses demokrasi berlangsung aman, selamat dan teratur pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN Sarawak Ke-13).

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Komisioner Saifullizan Ishak, berkata persiapan menghadapi pilihan raya itu sudah dimulakan lebih awal dengan memberi penekanan kepada kesiapsiagaan anggota, aspek keselamatan, logistik dan penyelarasan bersama agensi berkaitan.

Beliau berkata, hampir 5,000 anggota dijangka ditugaskan pada hari penamaan calon, manakala pada hari pengundian akan membabitkan kekuatan lebih 7,500 orang akan ditugaskan di lapangan.

“Kami juga mendapat bantuan seramai 250 pegawai dan anggota daripada Bukit Aman dan kontinjen Sabah,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Saifullizan berkata, keperluan logistik turut diberi perhatian utama, termasuk penggunaan aset sedia ada serta peruntukan bagi menyewa kenderaan, bot, helikopter dan bas untuk melengkapkan keperluan operasi.

Beliau berkata, polis negeri itu ketika ini mempunyai dua helikopter yang disifatkan mencukupi bagi penugasan PRN Sarawak Ke-13, namun penambahan bot dan kenderaan masih diperlukan untuk menyokong pergerakan anggota, khususnya di kawasan sukar diakses.

Beliau berkata, persiapan setakat ini berjalan lancar dan memuaskan, termasuk mesyuarat penyelarasan serta sesi taklimat bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan agensi lain yang terbabit.

Katanya, semua Ketua Polis Daerah turut dibabitkan dalam taklimat berkenaan bagi memastikan maklumat, arahan serta perancangan operasi dapat diselaraskan di peringkat kontinjen dan daerah.

“Kita berharap suasana aman dan tertib seperti pilihan raya terdahulu di negeri ini dapat dikekalkan, selain semua pihak menghormati undang-undang serta mengelakkan tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan,” katanya.

Saifullizan berkata, PDRM akan memastikan semua penugasan dilaksanakan secara neutral, adil dan profesional tanpa dipengaruhi kecenderungan politik peribadi anggota, demi mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan keselamatan.

Beliau berkata, kesiapsiagaan operasi, kerjasama antara agensi dan disiplin anggota menjadi elemen penting bagi memastikan PRN Sarawak Ke-13 berjalan lancar serta keselamatan pengundi, calon dan petugas pilihan raya terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news