puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Siti Khadijah menyifatkan pelakon remaja, Zarra Zhaf memiliki kematangan luar biasa terutama kejayaan merangkul trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), baru-baru ini.
Baca juga: Uqasha Senrose persoal tindakan Kamal Adli, henti ungkit kisah lalu
Siti Khadijah atau nama sebenarnya Siti Khadijah Abdul Halim, 29, berkata kehebatan lakonan Zara tidak dapat disangkal berdasarkan pengalaman bekerja bersama pelakon berkenaan dalam filem Khadam.
“Zarra memang tak dinafikan juga seorang pelakon yang sangat bagus. Saya bekerja dengan Zarra, dia tidak seperti kanak-kanak sebaya dia, seperti dia sebaya saya.
“Kematangan dia dalam berlakon, cara lafazkan dialog dan cara berborak seperti orang dewasa. Memang saya rasa bangga (dengan kemenangan dia). Saya betul-betul anggap dia macam anak buah saya sebab saya memang ada anak buah lelaki dengan perempuan.
“(Watak) Hitam (lakonan Karl El) dan Puteh (lakonan Zarra) itu memang dekat dengan saya. Walaupun Karl tak dapat membawa pulang (trofi), kakak dia dapat bawa balik. Saya gembira untuk mereka,” katanya.
Siti Khadijah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran UTV Nusantara dan Janji Untuk Setia, di sini, semalam.
Mengulas mengenai pengurniaan Anugerah Khas Juri FFM35 kepada bintang Indonesia, Aghniny Haque, Siti Khadijah berkata, Aghniny diiktiraf atas sebab yang wajar.
“Apabila FFM35 mengiktiraf Aghniny, saya rasa Aghniny juga wajar mendapatkan anugerah itu kerana bakat dia.
“Kita tolak tepi warganegara dia, tapi bakat dia memang tak dinafikan sangat bagus dalam Khadam,” katanya.
Dalam pada itu, meskipun ramai yang mempertikaikan kemenangan Zarra serta pengurniaan anugerah kepada Aghniny, Siti Khadijah mengingatkan orang ramai untuk tidak mempersoalkan ketentuan rezeki.
“Saya cuma nak cakap satu sahaja. Kita makan nasi pun makanan boleh terjatuh daripada mulut kita. Jadi rezeki akan datang pada tepat masanya.
“Kalau sudah tertulis itu rezeki mereka, itulah rezeki mereka. Kalau rezeki orang itu lain kali, lain kalilah. Kalau boleh kita jangan pertikaikan tentang rezekilah sebab yang datang baik dan buruk itu daripada Allah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Siti Khadijah kini muncul dalam telefilem berjudul My Toxic Boyfriend menerusi platform UTV bermula semalam.
Telefilem berkenaan turut menampilkan dua pelakon Indonesia, Cinta Brian dan Adly Fayruz.
© New Straits Times Press (M) Bhd