SEPANG – Ada yang menyifatkannya sebagai hadiah hari jadi paling besar, manakala ada yang sebak apabila menerima berita bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama isteri.Itulah kegembiraan dua pasangan yang menyertai program Umrah Bersama Rakan Grab yang berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi Isnin.Bagi pemandu Grab, Khusairill Md Yusof, 50, impian menunaikan umrah menjadi kenyataan apabila isterinya, Siti Anizah Ibrahim, 38, memenangi tajaan berkenaan dan memilihnya sebagai teman perjalanan.Lebih istimewa, penerimaan hadiah itu bertepatan dengan hari lahirnya.”Kebetulan masa dia dapat hadiah itu, hari jadi saya. Dia kata, ‘Birthday abang.’ Alhamdulillah, ini hadiah paling besar yang saya pernah terima,” katanya.Siti Anizah yang juga pemandu e-hailing Grab tidak menyangka rezeki sebagai rakan-pemandu Grab membuka jalan untuknya menunaikan umrah bersama suami, ketika kekangan kewangan membataskan hasrat mereka.”Bagi kami yang tak berkemampuan ini, memang satu anugerah daripada ALLAH. Memang sangat-sangat seronok, teruja dan tak sangka,” katanya.Menurutnya, keinginan untuk berdoa di hadapan Kaabah semakin kuat ketika melalui ujian peribadi yang membabitkan dirinya dan anak.”Bila kita tengah runsing, tengah resah masa itu, memang sentiasalah berdoa cakap, ‘Ya ALLAH, kalau aku dapat berdoa depan Kaabah ini, ya Allah.’ Satu nikmat yang besarlah dapat jadi tetamu ALLAH, kan,” katanya.Seorang lagi pemenang, Muhammad Ilvira Masri, 33, mengakui terkejut dan sebak menerima berita kemenangan yang langsung tidak dijangkakan.”Gembira memang gembiralah, tak sangka, tapi itulah, tak dapat digambarkan. Tak terlintas yang kita akan menang,” katanya.Isterinya, Noor Atiqahidayu Zulkipli, 33, berkata, berita itu diterima ketika beliau hanya menunggu seminggu lagi untuk bersalin.Menurutnya, mereka sering berkongsi gambar dan kisah mengenai Makkah serta Madinah, lebih-lebih lagi selepas ahli keluarga berpeluang menunaikan haji dan umrah.”Sebelum ini banyak kongsi mengenai Makkah, Madinah. Kadang-kadang tag dia, tak sangka benda itu jadi realiti, betul-betul kami dapat pergi ke sana,” katanya.Muhammad Ilvira berkata, usaha mengumpul wang sendiri untuk menunaikan umrah mungkin mengambil masa yang panjang. Justeru, beliau amat menghargai tajaan Grab Malaysia.Kedua-dua pasangan itu menyertai rombongan lapan pemenang peraduan bertemakan ‘Sabar Dalam Setiap Pesanan’ yang berlangsung ketika Ramadan tahun ini.Setiap pemenang menerima pakej umrah untuk dua orang.Rombongan itu berlepas pada jam 9.30 pagi menuju ke Madinah menerusi program Umrah Bersama Rakan Grab yang dianjurkan buat kali ketiga.Turut hadir mengiringi keberangkatan jemaah ialah Pengerusi Persatuan Rakan Grab Malaysia (PRGM), Shanlee Tan Shamsuri Tan, serta ahli jawatankuasanya, Noor Hamisah Mohamed Sha’ari.Shanlee berkata, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan Grab Malaysia terhadap rakan-pemandu dan rakan-penghantar serta keluarga mereka.”Alhamdulillah, saya bersyukur dan amat menghargai usaha Grab Malaysia meneruskan inisiatif ini buat kali ketiga. Di sebalik penat lelah mencari rezeki, ada rakan kita yang menyimpan kerinduan untuk menjadi tetamu ALLAH, namun belum berkemampuan.”Dengan izin ALLAH, Grab menjadi asbab impian itu terlaksana. Usaha ini menunjukkan mereka tidak dilupakan. Semoga ALLAH memberkati semua yang menjayakannya dan mengurniakan umrah yang mabrur kepada para jemaah,” katanya.
Umrah hadiah hari jadi paling bermakna
Malay News | https://www.malay.news/umrah-hadiah-hari-jadi-paling-bermakna/