Syarat dan kapasiti negara ketiga akan menentukan jumlah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang boleh ditempatkan semula selepas tamat tempoh transit di Malaysia.
Baca juga: Siasatan kes Puteri Balqis diperluas, 25 lagi saksi bakal beri keterangan -Polis
Foto: MalaysiaPost
Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penempatan semula itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam menjaga hak asasi manusia. Bagaimanapun, negara penerima mempunyai kuasa menentukan syarat kemasukan serta jumlah individu yang sanggup diterima pada satu-satu masa.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA–Muar), yang meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan dalam menangani kemasukan pelarian serta tindakan susulan UNHCR selepas tempoh transit.
Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa kerajaan menggunakan teknologi untuk memperkukuh pemantauan di sempadan negara.
“Pendekatan kawalan sempadan negara pada masa kini tidak hanya tertumpu kepada pembinaan tembok dan pagar, tetapi turut membabitkan penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), dron dan sistem pemantauan pintar,” katanya.
Menurutnya, penguatkuasaan turut meliputi rakyat Malaysia yang memudahkan warga asing melakukan kesalahan. Antara tindakan yang disebut ialah penguatkuasaan terhadap perniagaan tanpa lesen atau kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk terhadap pemilik tanah atau premis yang membenarkan kegiatan itu.
“Di samping itu, kerajaan turut memutuskan supaya tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap warganegara Malaysia yang menjadi ‘enabler’ kepada warga asing yang melakukan kesalahan di Malaysia.
“Ia termasuk tindakan terhadap individu yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT), serta terhadap pemilik tanah atau premis yang membenarkan aktiviti berkenaan,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan bahawa seramai 227,414 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia setakat 30 September lalu.
Daripada jumlah itu, 205,273 orang atau 90.2 peratus berasal dari Myanmar, termasuk 132,400 orang daripada etnik Rohingya.
Rekod UNHCR menunjukkan Selangor mencatat jumlah pemegang kad tertinggi dengan 74,028 orang, diikuti Kuala Lumpur dengan 47,333 orang dan Pulau Pinang dengan 25,357 orang.
Sumber: Berita Harian (Noor Atiqah Sulaiman)