am@hmetro.com.my
Baca juga: TPM Zahid perjelas pemegang kad UNHCR ditempatkan di negara ketiga selepas tempoh transit
Kuala Terengganu: Tiga lelaki direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memukul dan menyiku seorang warga emas di Lorong Ikhwan, Jalan Pasir Panjang, Isnin lalu.
Perintah tahanan reman sehingga Sabtu itu dikeluarkan Majistret Muhammad Amir Zainul Muttaqin Mohd Zamri.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, semua suspek warga tempatan berusia antara 39 hingga 44 tahun itu ditahan petang semalam.
“Kejadian dipercayai berpunca apabila sebuah kereta Perodua Alza dipercayai melanggar bahagian belakang kereta Skoda dipandu isteri mangsa.
“Mangsa yang keluar untuk melihat kerosakan pada kenderaan berkenaan bagaimanapun diserang individu yang menaiki Perodua Alza terbabit,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang lelaki berusia 62 tahun mengalami kecederaan di muka, hidung dan mulut selepas diserang tiga individu susulan kemalangan jalan raya kira-kira jam 5 petang Isnin lalu.
Kejadian itu viral dan mengundang kemarahan orang ramai selepas rakaman video memaparkan warga emas berkenaan diserang tular di Facebook.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan juga boleh didenda.
© New Straits Times Press (M) Bhd