KUALA LUMPUR: Negeri Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis menjadi tumpuan pembangunan bersepadu menerusi pelan induk ekonomi kawasan sempadan Malaysia-Thailand yang mengintegrasikan zon ekonomi, jaringan jalan raya dan rel, perdagangan serta pelancongan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelan induk itu akan menjadi panduan pembangunan bagi memastikan potensi ekonomi kawasan sempadan kedua-dua negara dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
Baca juga: 3 lelaki direman 4 hari kes tumbuk, siku warga emas
Beliau berkata, perancangan berkenaan berasaskan Kajian Pembangunan Zon Ekonomi Kawasan Sempadan Utara Semenanjung Malaysia yang dilaksanakan Kementerian Ekonomi.
“Tumpuan diberikan kepada kelebihan ekonomi Malaysia dan Thailand yang saling melengkapi, khususnya dalam sektor agromakanan, produk halal serta industri hiliran getah.
“Bekalan bahan mentah dan agromakanan dari Thailand berpotensi menyokong aktiviti pemprosesan bernilai tinggi di Malaysia.
“Pada masa sama, ekosistem halal dan rangkaian logistik rantaian sejuk dapat memperluaskan akses produk ke Thailand serta pasaran antarabangsa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam..
Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai pelan induk kerajaan untuk membangunkan sempadan Malaysia-Thailand sebagai koridor ekonomi strategik yang mengintegrasikan zon ekonomi khas, jaringan jalan raya dan rel, perdagangan serta pelancongan, khususnya bagi meningkatkan pembangunan Kelantan, Kedah dan Perlis.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, sinergi ekonomi kedua-dua negara berpotensi membuka peluang kepada perusahaan tempatan untuk menyertai rantaian bekalan serantau, selain menjana pekerjaan dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Bagi menyokong kegiatan ekonomi berkenaan, katanya, pembangunan infrastruktur logistik bersepadu turut menjadi keutamaan, termasuk memperkukuh jaringan jalan raya dan rel yang menghubungkan kawasan sempadan dengan pusat perindustrian serta perdagangan.
“Pintu sempadan utama seperti Rantau Panjang, Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar menghubungkan kawasan perindustrian, pusat logistik serta pelabuhan.
“Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) memperkukuhkan keupayaan pengendalian dan pengedaran kargo darat.
“Selain itu, cadangan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang berpotensi memperluaskan hubungan logistik dengan Thailand,” katanya.
Pada peringkat dua hala, beliau berkata, pembangunan di kedua-dua belah sempadan perlu diselaraskan supaya kawasan ekonomi, infrastruktur dan kegiatan perdagangan saling melengkapi serta memberikan manfaat bersama.
Katanya, kerjasama melalui Jawatankuasa Malaysia-Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan (JDS) dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) turut menyokong usaha berkenaan.
“Matlamatnya ialah meningkatkan kesejahteraan penduduk dan merapatkan jurang pembangunan wilayah,” katanya. – UTUSAN
The post Empat negeri utara jadi tumpuan pelan induk ekonomi sempadan appeared first on Utusan Malaysia.