puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Uqasha Senrose, 33, meluahkan rasa kecewa dan mempersoalkan tindakan bekas suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli apabila didakwa masih mengungkit kisah lama antara mereka.
Baca juga: Sudahlah, mahu orang kasihankah? – Uqasha Senrose
Menerusi hantarannya di Threads, Uqasha beranggapan tiada keperluan untuk mengimbas kembali peristiwa berkenaan memandangkan dia sendiri tidak pernah menyentuh perkara itu bagi meraih simpati orang lain.
“Allahuakbar, rasanya tak perlu nak cerita kejadian masa penggambaran. Benda sudah lepas lama dan saya pun sikit tak sentuh nak buat orang simpati ke apa. Untuk apa?
“Sudahlah, saya dah tak sentuh langsung dah selepas bercerai. Ikutkan setiap manusia ada waktu ‘down’ dia, tapi pernah ke saya nak kongsi? Sikit-sikit nak kongsi nak orang kasihan ke? Sudahlah,” tulisnya.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati segelintir warga maya meminta Uqasha tidak melayan perkara berkenaan.
Membalas komen, Uqasha berkata, sebagai manusia biasa dia juga mempunyai perasaan, apatah lagi apabila berdepan dengan sikap segelintir pihak yang sering membuat perbandingan.
“Kenapa setiap masa nak kena cerita lagi dan lagi dan lagi? Awak seorang ke ada perasaan sedih? Saya tak ada perasaan ke dengan orang tak habis-habis masih lagi nak banding-bandingkan?
“Saya juga manusia biasa, tapi pernah ke selepas bercerai, saya keluarkan apa-apa kenyataan untuk orang rasa kasihan kepada saya?” kongsinya.
Terdahulu, Kamal mengimbau kenangan apabila meneruskan penggambaran filem Takluk 2: OP Daulat ketika melalui fasa sukar selepas berpisah dengan Uqasha pada awal tahun ini.
Kamal, 40, berkata pada hari kejadian, dia tidak sempat pulang berjumpa dengan ahli keluarganya, sebaliknya terus memandu ke Kuantan, Pahang bagi menyambung semula penggambaran filem berkenaan.
Untuk rekod, rumah tangga pasangan selebriti itu berakhir selepas Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu pada 12 Januari lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd