KOTA KINABALU: Pendaki akan menikmati pengalaman pendakian terbaharu di Gunung Kinabalu menerusi pembukaan laluan dari Kampung Kiau, Kadamaian yang dijadual dilancarkan pada 16 Januari depan.
Baca juga: Rekod jualan digital boleh ganti cagaran pinjaman
Diperkenalkan sebagai produk pelancongan berpotensi tinggi sempena Tahun Melawat Sabah 2027, fasa pertama laluan eksklusif Kiau–Marai-Parai sepanjang tujuh kilometer itu menghubungkan Kampung Kiau Nuluh (977 meter) hingga ke Marai-Parai pada ketinggian 1,652 meter dari aras laut.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata pembangunan di sebelah Kadamaian itu adalah fokus utama Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang diyakini menjadi pemangkin baharu ekonomi penduduk setempat.
“Saya menghargai inisiatif Taman-Taman Sabah (TTS) membangunkan potensi kawasan ini termasuk laluan baharu dari Kiau, Puncak Sayap, Minitinduk Gorge, Gunung Nungkok serta perancangan di Melangkap.
“Saya yakin pembangunan Gunung Kinabalu di sebelah Kadamaian ini merupakan ‘game changer’ kepada ekonomi rakyat di sini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu selepas mengadakan kunjungan kerja ke Ibu Pejabat TTS di sini, semalam.
Terdahulu, beliau menerima taklimat daripada Pengarah TTS, Datuk Dr Maklarin Lakim mengenai perancangan pelancongan tersebut.
Menurut TTS, ekspedisi saintifik Marai-Parai pada Oktober 2024 mengenal pasti 25 tarikan utama di sepanjang laluan itu, termasuk Minitinduk Gorge yang merupakan jejak pendakian bersejarah Sir Hugh Low pada 1851, selain kepelbagaian flora endemik dan spesies periuk kera (Nepenthes rajah, lowii dan edwardsiana).
Menerusi pelan keseluruhan, laluan dari Kampung Kiau Nuluh melalui Marai-Parai dan West Gurkha Hut ke Low’s Peak membabitkan jarak 15.28 kilometer, manakala keseluruhan perjalanan hingga ke Pintu Timpohon adalah kira-kira 24 kilometer.
Mengulas lanjut, Ewon menegaskan pembangunan sektor itu perlu disokong infrastruktur baik termasuk Projek Jalan Luar Bandar (JALB), dan beliau komited membantu mendapatkan peruntukan berkaitan.
Selain Marai-Parai, TTS turut mengetengahkan potensi Kadamaian-membabitkan Kiau, Melangkap, Sayap dan Tambatuon-sebagai hab ekopelancongan berasaskan komuniti merangkumi tarikan Puncak Sayap (3,050 meter), Gunung Nungkok, air terjun serta budaya tempatan.
Daripada keseluruhan 75,370 hektar keluasan Taman Kinabalu, sebanyak 25,700 hektar atau 34.1 peratus terletak dalam daerah Kota Belud, manakala 42.1 peratus di Ranau dan 23.8 peratus di Kota Marudu.
© New Straits Times Press (M) Bhd