LATEST

GPS letak 11 muka baharu PRN Sarawak

GPS letak 11 muka baharu PRN Sarawak

KUCHING: 11 muka baharu merupakan antara 82 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah menampilkan muka baharu melibatkan gabungan golongan profesional dan pemuda daripada kesemua parti komponen itu merupakan sebahagian daripada usaha meremajakan parti serta memberi peluang kepada barisan pelapis kepimpinan negeri.

Baca juga: Tubuh kecil, jiwa besar Syaiful

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyandang yang telah berkhidmat mewakili GPS pada penggal lepas dan berundur diri bagi memberi laluan kepada muka baharu. Ini adalah langkah untuk kita meremajakan GPS,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon itu.

Mengenai keputusan beberapa parti dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Barisan Nasional (BN), PKR dan Amanah untuk tidak bertanding pada PRN kali ini, Abang Johari merakamkan penghargaan atas pendirian tersebut demi memelihara kestabilan politik negeri.

Dalam pada itu, beliau yang juga Premier Sarawak dan Presiden PBB mengesahkan akan mempertahankan kerusi DUN Gedong bagi penggal kedua selepas menyandang kerusi DUN Satok selama sembilan penggal sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Disember ini.

Pada PRN Sarawak 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi.
GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – BERNAMA

The post GPS letak 11 muka baharu PRN Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news