zulfaizan@mediaprima.com.my
Baca juga: BFood lepas operasi Kenny Rogers Roasters Malaysia kepada syarikat usaha sama
Kuala Lumpur: Tubuhnya mungkin lebih kecil berbanding pemain lawan, namun di sebalik susuk yang sederhana itu tersimpan keberanian dan jiwa besar dimiliki bintang muda negara, Muhammad Syaifullah Mahruzi.
Meskipun skuad bawah 16 tahun (B-16) negara gagal ke Piala Asia B-17 2027, nama Syaifullah atau lebih mesra disapa Syaiful menjadi sebutan kerana kelincahan, ketangkasan dan keberaniannya berdepan lawan yang memiliki fizikal lebih besar sepanjang kempen kelayakan, baru-baru ini.
Produk Akademi Mokhtar Dahari berusia 16 tahun itu menjadikan legenda Argentina, Lionel Messi dan bintang bola sepak kebangsaan, Arif Aiman Hanapi sebagai idolanya dalam mengejar cita-cita bergelar pemain bola sepak.
Syaiful menjelaskan Messi dan Arif Aiman sudah membuktikan bahawa walaupun bertubuh kecil, namun aksi mereka di atas padang mengundang rasa gerun kepada pemain lawan yang memiliki fizikal lebih besar.
“Idola saya adalah Messi dan kalau dalam Malaysia, Arif Aiman. Pencapaian dan corak permainan mereka memberikan inspirasi kepada saya untuk terus mengembangkan karier dalam bola sepak,” kata anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu.
Walaupun usianya masih muda, Syaiful sebenarnya sudah meniti perjalanan pahit yang turut menjadi ketakutan buat mana-mana pemain bola sepak atau atlet iaitu mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
Syaiful menjelaskan kecederaan berkenaan dialami ketika latihan di Croatia pada tahun lalu yang menyaksikan dia terpaksa berehat panjang selama sembilan bulan sebelum kembali ke padang pada September lalu.
“Sebenarnya saya sudah lama tidak bermain bola. Saya mula kembali pada September lalu sebab baru pulih daripada kecederaan ACL.
“Saya bersyukur kerana saya kembali bangkit dan semua itu atas doa serta semangat semua pihak terutama ibu bapa, jurulatih dan pegawai fisioterapi,” katanya.
Pada kempen kelayakan Kumpulan E sebelum ini, Syaiful menjadi tonggak harapan skuad kendalian Shukor Adan apabila diletakkan sebagai pemain utama dalam keempat-empat perlawanan Harimau Malaya B-16 menentang Palestin, Singapura, Guam dan India.
Sementara itu, bapa Syaifullah, Mahruzi Mohamed, 53, menjelaskan perjalanan karier anak keempatnya itu bermula ketika usia tujuh tahun apabila menyertai Akademi Tunas sebelum terpilih ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bermula Tingkatan Satu.
Beliau berkata, melihat Syaiful menyarung jersi skuad B-16 negara dan membawa nama Malaysia di atas padang membuatkan dia berasa usaha menghantar anaknya itu berlatih sejak dari kecil berbaloi.
“Memang dia ada potensi dan bakat. Jurulatih dan cikgu dia sebelum ini pun kata budak ini ada bakat. Saya bangga tengok dia beraksi untuk negara dan hati dia memang berani walaupun baru lepas pulih daripada ACL, kita pula jadi takut.
“Tidak perlu fikir soal fizikal, saya harap semoga dia berjaya dalam kariernya dan melangkah lebih jauh hingga ke peringkat skuad senior Harimau Malaya pada masa akan datang,” katanya.
Profil
Nama: Muhammad Syaifullah Mahruzi
Umur: 16 tahun
Asal: Tanah Merah, Kelantan
Sekolah: Sekolah Sukan Malaysia Pahang
Akademi: Akademi Mokhtar Dahari (AMD)
Pasukan kebangsaan: Skuad B-16
Posisi: Tengah, sayap
Nombor jersi: 13
© New Straits Times Press (M) Bhd