BERJAYA Food Bhd (BFood) menstruktur semula perniagaan Kenny Rogers Roasters (KRR) di Malaysia yang mencatat kerugian dengan memindahkan operasi kepada sebuah syarikat usaha sama baharu (JVC) namun mengekalkan pegangan ekuiti sebanyak lima peratus.Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, BFood berkata, anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Roasters (M) Sdn Bhd memeterai perjanjian usaha sama dan pemegang saham dengan dua syarikat berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), iaitu Samaya Food Investments LLC dan Vertix Holdings LLC serta Nabil Shaukat Butt.Menerusi perjanjian itu, Samaya dan Vertix masing-masing akan memegang 46.5 peratus kepentingan dalam JVC manakala Berjaya Roasters dan Nabil masing-masing memiliki lima peratus dan dua peratus.JVC berkenaan akan mempunyai jumlah sumbangan modal sebanyak RM8.64 juta.Setelah urus niaga selesai, JVC akan mengambil alih tanggungjawab penuh terhadap operasi perniagaan KRR di Malaysia.”Berjaya Roasters tidak akan terlibat dalam aktiviti operasi berkaitan restoran KRR di Malaysia tetapi akan terus menyediakan perkhidmatan sokongan operasi berdasarkan perjanjian perkhidmatan dikongsi yang akan dimeterai dengan JVC,” katanya.Menurut BFood, penstrukturan semula itu membolehkan kumpulan melupuskan operasi KRR yang mencatat kerugian sekali gus mengurangkan komitmen kewangan dan operasi sambil mengekalkan pegangan ekuiti sebanyak lima peratus dalam JVC.”Ini akan membolehkan Kumpulan BFood memperuntukkan dan menggunakan sumber kewangan serta modalnya dengan lebih baik kepada operasi perniagaan makanan dan minuman (F&B) yang lain sekali gus meningkatkan kecekapan keseluruhan dalam penggunaan sumber dan portfolio perniagaannya,” katanya.Bagi tujuan langganan saham, Berjaya Roasters akan menyumbang aset operasi KRR dalam bentuk bukan tunai, termasuk perabot, kelengkapan dan peralatan yang mempunyai nilai buku bersih tidak diaudit sebanyak RM432,000 setakat 31 Oktober 2026.Pemegang saham lain pula akan membuat sumbangan modal bagi pegangan masing-masing secara tunai.Selain itu, Berjaya Roasters akan memindahkan wang tunai dalam daftar tunai restoran serta inventori kepada JVC sebelum entiti itu membayar balik kepada syarikat berdasarkan nilai bawaan yang dipersetujui.Untuk rekod, Samaya ialah syarikat pegangan pelaburan yang mempunyai kepentingan dalam sektor makanan dan minuman, hartanah, instrumen kewangan serta pelaburan benih. Syarikat itu juga merupakan pemegang francais induk dan pengendali KRR di UAE.Vertix merupakan syarikat pegangan pelaburan yang mempunyai kepentingan dalam pelbagai bidang termasuk hartanah, pengurusan fasiliti, kereta mewah, makanan dan minuman serta perkhidmatan perakaunan dan audit.Nabil pula memegang jawatan sebagai ketua pegawai kewangan kumpulan Samaya selain merupakan ahli lembaga pengarah Vertix.BFood berkata, cadangan langganan saham itu tidak akan memberi kesan material terhadap aset bersih dan gearan kumpulan.Bagaimanapun, Berjaya Roasters dijangka merekodkan keuntungan anggaran sebanyak RM4.51 juta daripada pelupusan operasi KRR di Malaysia terutamanya hasil penamatan obligasi pajakan yang berkaitan dengan perniagaan berkenaan.
BFood lepas operasi Kenny Rogers Roasters Malaysia kepada syarikat usaha sama
Malay News | https://www.malay.news/bfood-lepas-operasi-kenny-rogers-roasters-malaysia-kepada-syarikat-usaha-sama/