yusri.muzamir@bh.com.my
Baca juga: Kutipan royalti pasir mencecah RM53.4 juta
Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menekankan keperluan mendapatkan persetujuan industri setempat berhubung penempatan pekerjaan dan pakej gaji sebelum pengambilan pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi membendung penghijrahan golongan muda luar bandar ke bandar.
Timbalan Menteri, Datuk Rubiah Wang, berkata pendekatan itu bertujuan memastikan graduan TVET memperoleh peluang pekerjaan mahir dengan pendapatan kompetitif berhampiran tempat tinggal mereka menerusi padanan langsung antara institusi TVET dengan industri setempat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, setakat ini terdapat lebih 300 kerjasama aktif antara institusi TVET KKDW dengan pihak industri.
“Sebanyak 281 institusi TVET KKDW menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, terutama Kementerian Sumber Manusia bagi melahirkan tenaga kerja TVET berkemahiran tinggi supaya graduan memperoleh pendapatan kompetitif di luar bandar.
“Pihak industri turut dibabitkan dalam pembangunan kurikulum, penyediaan peralatan, latihan amali, perantisan, pensijilan profesional, temu duga dan pengambilan graduan.
“Keutamaan kerjasama diberi kepada industri menawarkan pekerjaan tetap, gaji bersesuaian dengan tahap kemahiran, perlindungan sosial dan peluang peningkatan kerjaya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai misi KKDW membina ekonomi baharu luar bandar bagi membuka peluang kerjaya dan sumber pendapatan kepada golongan muda.
Menjawab soalan tambahan Shamshulkahar, Rubiah berkata, graduan TVET turut digalakkan membangunkan perusahaan teknikal sebagai teknousahawan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan setempat.
“Jadi gabungan latihan kemahiran, kerjasama industri dan juga pembangunan usahawan TVET berpotensi menyokong matlamat zon Agropolis.
“Ini bagi meningkatkan lagi nilai tambah sektor pertanian, memperkukuh perusahaan tempatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan kepada belia luar bandar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan TVET di kawasan tertentu atau GiatMARA disesuaikan mengikut kemampuan dan potensi lokaliti, termasuk perubahan kursus serta modul berdasarkan keperluan semasa.
“Peningkatan kemahiran dan pemahiran semula kajian setempat juga sering dilakukan dengan pengguguran atau penambahan kursus serta modul TVET di sesuatu kawasan dibuat berdasarkan keperluan dan kemahiran diperlukan.
“Ini bagi membentuk tenaga mahir dan peluang keusahawanan di lokaliti berkenaan, selain penyesuaian itu dibuat secara berperingkat mengikut kawasan dalam usaha mengehadkan penghijrahan tenaga kerja muda luar bandar ke bandar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau).
© New Straits Times Press (M) Bhd