LATEST

Kutipan royalti pasir mencecah RM53.4 juta

Kutipan royalti pasir mencecah RM53.4 juta

PELABUHAN KLANG: Kutipan royalti hasil perlombongan pasir dasar laut mencecah RM53.4 juta setakat Oktober lalu, meningkat kira-kira 300 peratus berbanding RM16.65 juta yang direkodkan sepanjang 2024.

Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, jumlah kutipan itu dijangka terus meningkat dan berpotensi melepasi RM75.15 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu.

Baca juga: Tampar jiran kerana ayam mati, warga emas didenda RM300

Beliau berkata, peningkatan berkenaan didorong penggunaan sistem sensor Dredging and Dumping Management System (DDMS) serta pemantauan berterusan membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan bagi memastikan aktiviti perlombongan pasir dasar laut di bawah Zon Pelantar Benua mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

“Antara aspek yang dipantau termasuk kedudukan kapal korek pasir di kawasan operasi yang diluluskan, tempoh operasi serta kuantiti pengeluaran yang dilaporkan pemegang lesen.

“Kita turut memantau pematuhan syarat perlesenan dan keperluan teknikal oleh syarikat berdaftar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai operasi pemantauan aktiviti perlombongan pasir dasar laut di Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fauzi, kadar royalti yang dikenakan ialah RM1 bagi setiap meter padu pasir untuk kegunaan tempatan, manakala RM4.50 bagi setiap meter padu bagi tujuan eksport.

Beliau berkata, semua hasil pengeluaran pasir dasar laut perlu diisytiharkan menerusi sistem DDMS yang dilengkapi sensor bagi memantau pergerakan kapal korek pasir.

Katanya, penggunaan sistem itu penting bagi memastikan kutipan hasil negara dapat dilindungi selain mengurangkan risiko terhadap alam sekitar dan sumber laut.

Dalam pada itu, Mohd. Fauzi berkata, pengurusan Zon Pelantar Benua dan perlombongan pasir dasar laut terletak di bawah Akta Pelantar Benua 1966 (Akta 83) yang mengawal aktiviti berkaitan penerokaan sumber alam tertentu di dasar laut.

“Punca kuasa ialah Akta 83. Had rujukan perairan di bawah punca kuasa ini pula ialah lebih tiga batu nautika bagi pembahagian bidang kuasa. Sekiranya kurang, ia dibawah bidang kuasa kerajaan negeri,” jelasnya. – UTUSAN

The post Kutipan royalti pasir mencecah RM53.4 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news