London: Bekas penyerang Manchester United, Rasmus Hojlund menyindir Manchester City selepas menjaringkan gol ketika membantu Napoli menentang pasukan itu dalam saingan Liga Juara-Juara.
Baca juga: Hannah puas hati jawab isu KLSCAH guna fakta -“Pembangkang keluar kamar dengan gembira”
Penyerang yang dibeli United dengan harga 72 juta pound sterling (RM387 juta) pada 2023 diturunkan bersama kelab Itali berkenaan untuk berdepan bekas seterunya dalam perlawanan kelima Napoli bagi saingan itu musim ini.
Hojlund membuka jaringan selepas separuh masa dalam perlawanan yang berkesudahan 2-2 itu apabila melepaskan rembatan menewaskan Gianluigi Donnarumma, sekali gus menyebabkan City bolos untuk perlawanan ke-10 berturut-turut.
Dia menerima hantaran daripada bekas pemain tengah Chelsea, Billy Gilmour sebelum memperdayakan Marc Guehi dan melakukan penyudah kemas.
Namun, sambutannya selepas menjaringkan gol turut mencuri perhatian apabila dia mengangkat satu jari dan dilihat melaungkan ‘satu pasukan di Manchester’ ke arah penyokong tuan rumah.
Selepas perlawanan, Hojlund mengesahkan dia memang menyindir pasukan kendalian Enzo Maresca itu, namun menegaskan ia dilakukan sekadar gurauan.
“Ya, ia gurauan yang baik,” katanya kepada TNT Sports. “Ada persaingan antara Manchester City dan United dan saya mempunyai sejarah bersama United.
“Itu kelab saya. Tiada apa-apa terhadap Manchester City. Saya gembira dapat menjaringkan gol di sini.”
Gol itu adalah jaringan ketiga Hojlund musim ini dalam 11 perlawanan ketika dia terus berusaha mendapatkan semula prestasinya selepas melalui tempoh mengecewakan di England.
Selepas menyertai United dari Atalanta tiga tahun lalu, terdapat harapan tinggi bahawa dia mampu menjadi tonggak utama jentera serangan Red Devils untuk tempeoh yang lama.
Pada musim pertamanya, dia menjaringkan 17 gol dalam semua pertandingan, termasuk 10 gol dalam Liga Perdana Inggeris, naamun, prestasinya merosot dengan mendadak selepas itu.
Dia hanya menjaringkan sembilan lagi gol untuk kelab berkenaan sebelum dipinjamkan ke Napoli pada pertengahan musim lalu dan secara keseluruhan, Hojlund meledak 26 gol dalam 95 penampilan bersama United.
Pada musim panas lalu, dia menyertai Napoli secara tetap dan United kini berada di tangga ke-19 Liga Perdana Inggeris.
© New Straits Times Press (M) Bhd