GEORGETOWN: Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pesisir pantai dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan ramalan berlaku air pasang besar, hujan dan ribut petir di kebanyakan kawasan di negeri itu hingga Jumaat ini.
Baca juga: Tampar jiran kerana ayam mati, warga emas didenda RM300
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata orang ramai perlu mengambil perhatian terhadap jadual air pasang surut bagi kawasan Georgetown dan Pelabuhan Pulau Pinang, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
“Air pasang diramal berlaku pada jam 12.52 tengah malam esok dengan ketinggian 2.68 meter, manakala pada 1.25 tengah hari paras air dijangka mencapai 2.23 meter.
“Berdasarkan ramalan, air pasang pada Jumaat dijangka mencapai paras tertinggi, iaitu 2.71 meter pada jam 1.29 pagi, manakala 2.19 meter pada 2.07 petang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Shoki berkata, faktor cuaca juga perlu diberi perhatian apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir di kebanyakan tempat pada sebelah petang dan hujan di kebanyakan kawasan pada waktu malam bermula hari ini hingga Jumaat.
Beliau berkata, hari esok hujan dijangka berlaku di beberapa tempat pada sebelah pagi sebelum ribut petir melanda kebanyakan kawasan pada sebelah petang dan hujan pada waktu malam.
Katanya, keadaan sama diramal berulang pada Jumaat dengan cuaca dijangka tidak hujan pada sebelah pagi, sebelum ribut petir melanda kebanyakan tempat pada sebelah petang dan hujan pada waktu malam.
“Walaupun tiada amaran hujan berterusan dikeluarkan bagi Pulau Pinang setakat ini, penduduk perlu sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan arahan pihak berkuasa sepanjang Monsun Timur Laut (MTL),” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang berdepan kecemasan diminta menghubungi talian 999 yang beroperasi 24 jam, selain mendapatkan maklumat cuaca dan keselamatan melalui saluran media sosial rasmi JBPM Pulau Pinang.
© New Straits Times Press (M) Bhd