LATEST

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perlis dilepas, dibebaskan tuduhan bersubahat mengajar tanpa tauliah

Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perlis dilepas, dibebaskan tuduhan bersubahat mengajar tanpa tauliah

am@hmetro.com.my

Baca juga: Rossi tak ucap tahniah, Marquez tak kisah

Kangar: Mahkamah Rendah Syariah, di sini, hari ini, melepaskan dan membebaskan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perlis, Yussaine Yahya daripada pertuduhan bersubahat mengajar tanpa tauliah.

Hakim Syarie Yusof Abd Manaf membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Yusof ketika membacakan penghakimannya berkata, pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan secara konklusif penglibatan langsung Orang Kena Tuduh (OKT) dalam menganjur, merancang dan menjemput penceramah bagi majlis berkenaan.

“Walaupun pesalah utama atau penceramah berkenaan sudah membuat pengakuan salah sebelum ini, ia bukan alasan untuk mensabitkan OKT secara automatik kerana beban pembuktian tetap terletak pada pihak pendakwaan.

“Saksi pendakwaan keempat (SP4) turut mengakui tiada sebarang komunikasi antara OKT dan penceramah terbabit. Tanpa keterangan langsung daripada penceramah untuk mengesahkan OKT menjemput dan mengatur kehadirannya, elemen subahat ini hanya disandarkan pada andaian serta keterangan ikut keadaan semata-mata,” katanya.

Yusof berkata, jawatan OKT sebagai mudir di premis berkenaan juga tidak pernah disahkan secara konklusif sepanjang perbicaraan bagi membuktikan kuasa kawalannya terhadap lokasi kejadian.

Katanya, keterangan saksi pendakwaan ketiga mengenai kehadiran dan ucapan OKT semasa majlis terlalu ringkas untuk menjelaskan peranannya, selain pihak pendakwaan gagal mengemukakan rakaman penuh program itu ke mahkamah meskipun saksi ketiga mengakui merakam keseluruhan majlis.

“Berhubung kejadian di kawasan pagar pula, tiada bukti langsung menunjukkan OKT menghalang pihak penguat kuasa memasuki premis, sebaliknya mereka beredar sendiri tanpa sebarang halangan atau ugutan,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri mengikut Seksyen 96(f) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah serta wang jaminan dikembalikan kepada penjamin.

Sementara itu, peguam tertuduh, Nur Iman Nor Azmi berkata, mahkamah mendapati kedua-dua elemen utama pertuduhan dalam kes itu gagal dibuktikan pihak pendakwaan.

“Kes ini berjalan hampir empat tahun sejak 2023 hingga tahun ini. Pertuduhan asal sebelum ini dipinda kepada bersubahat mengajar tanpa tauliah mengikut Seksyen 46 dibaca bersama Subseksyen 33(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.

“Selepas mendengar hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah memutuskan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri kerana elemen pertuduhan gagal dipenuhi,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Yussaine didakwa bersubahat menganjurkan ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Mohamad Wadi Anuar Ayub menerusi program Solat Terawih dan Sembang Santai pada 30 Mac 2023 tanpa tauliah Jabatan Mufti Negeri Perlis mengikut Seksyen 46 dibaca bersama Subseksyen 33(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Mohd Husni Za’im Mohd Said dan Mohd Dzuhaili Mohd Dzakwan, manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Farhana Ideris, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news