LATEST
National

Syor nama A Samad Said diabadikan di fakulti UM, sekolah cemerlang KPM

Syor nama A Samad Said diabadikan di fakulti UM, sekolah cemerlang KPM

ISKANDAR PUTERI: Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mencadangkan supaya nama Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Seri Dr Abdul Samad Muhammad Said diabadikan pada fakulti di Universiti Malaya (UM) atau sekolah cemerlang di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Baca juga: “Ayang, Tunggu!” Dua Tren LRT Sebaris Buat Netizen Gelak

Beliau berkata, UM mungkin boleh melaksanakan inisiatif itu di Fakulti Pendidikan, tempat Allahyarham menerima Ijazah Doktor Kehormat beliau atau Fakulti Sastera dan Sains Sosial, yang menyaksikan banyak penulisan beliau masih menjadi bahan kajian di situ.

“KPM pula boleh menamakan satu sekolah cemerlang di Melaka atau Lembah Klang dengan nama Allahyarham. Begitu juga halnya dengan mana-mana Sasterawan Negara yang meninggal dunia di negeri mana mereka dilahirkan,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini sempena persidangan Dewan Undangan Negeri.

Maszlee berkata, cadangan itu sebagai penghormatan terhadap sumbangan besar tokoh yang lebih dikenali sebagai A Samad Said berkenaan dalam dunia kesusasteraan negara.

Beliau turut mencadangkan hasil karya Sasterawan Negara itu diajar di semua sekolah bawah KPM seawal Tahun Satu hingga Tingkatan Enam.

“Semua perpustakaan sekolah menengah juga dicadangkan untuk mewujudkan galeri Sasterawan Negara dengan memaparkan gambar, latar belakang dan karya agung mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, turut mencadangkan agar kerajaan negeri menubuhkan Galeri Sasterawan Negara Datuk Usman Awang di Perpustakaan Awam Negeri Johor dan Muzium Tokoh Negeri Johor.

A Samad Said yang berasal dari Melaka itu meninggal dunia semalam pada usia 91 tahun selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur petang Isnin akibat sakit tua dan turut menghidap diabetes.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini pada jam 10.55 pagi ini.

Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A Samad Said adalah penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada 1985 dan terkenal dengan karya agung seperti novel Salina, Sungai Mengalir Lesu serta Hujan Pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news