KUALA LUMPUR: HAVI, syarikat penyelesaian rantaian bekalan global, membuka hab teknologi (TechHUB) pertamanya di Asia di Kuala Lumpur, yang dijangka mewujudkan kira-kira 150 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh lima tahun.
Baca juga: Syor nama A Samad Said diabadikan di fakulti UM, sekolah cemerlang KPM
HAVI TechHub Kuala Lumpur yang beroperasi di Menara Merdeka 118 itu menjadi hab teknologi keempat kumpulan berkenaan di peringkat global, selepas Chicago, Amerika Syarikat; Krakow, Poland; dan Lisbon, Portugal.
HAVI menyediakan penyelesaian rantaian bekalan bersepadu kepada jenama perkhidmatan makanan, merangkumi pemerolehan, pengangkutan, pergudangan, pengedaran serta perancangan rantaian bekalan daripada pembekal hingga ke restoran.
Presiden HAVI, Neil Humphrey, berkata hab berkenaan akan menghimpunkan kepakaran daripada seluruh kumpulan bagi membangunkan penyelesaian teknologi lebih baik selain memberi peluang kepada profesional Malaysia menyertai projek antarabangsa dan membina kerjaya di peringkat global.
“Setakat ini, lebih 70 rakyat Malaysia sudah direkrut untuk mengisi jawatan di hab berkenaan manakala proses pengambilan pekerja masih diteruskan bagi mencapai sasaran kira-kira 150 pekerjaan dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Azlan Sharom, berkata pihaknya mengalu-alukan keputusan HAVI menjadikan Malaysia sebagai lokasi hab teknologi pertamanya di Asia kerana ia membuka peluang kepada bakat tempatan untuk bekerjasama dengan pasukan global serta terbabit dalam projek teknologi canggih sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam bidang AI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Digital dan Maklumat HAVI merangkap Pengarah Urusan HAVI Global TechHUB, Reto Sahli, berkata penubuhan hab di Kuala Lumpur bertujuan memperkukuh organisasi teknologi global kumpulan melalui penyediaan kepakaran dan keupayaan teknologi di setiap lokasi operasi.
Katanya, Malaysia turut menjadi antara pusat utama bagi fungsi keselamatan siber kumpulan dengan sebahagian besar pasukan dalam bidang itu ditempatkan di Kuala Lumpur, selain Chicago, Krakow dan Lisbon.
“Pemilihan Malaysia sebagai lokasi hab teknologi pertama HAVI di Asia didorong oleh gabungan keupayaan teknologi, ketersediaan bakat berkemahiran dan kesalinghubungan serantau yang menyokong perkembangan perniagaan kumpulan di Asia Pasifik,” katanya.
Beliau berkata, hab Kuala Lumpur akan menyokong pelbagai inisiatif transformasi digital kumpulan, termasuk pembangunan aplikasi baharu, automasi operasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI), selain merangkumi bidang pengkomputeran awan, pembangunan perisian, analisis data dan pengurusan projek.
Sahli berkata, pelaksanaan projek akan membabitkan kerjasama pasukan daripada keempat-empat hab teknologi HAVI, dengan kepakaran dikongsi mengikut keperluan setiap inisiatif dan bukan berdasarkan pembahagian wilayah semata-mata.
“Ini bukan bermakna hab Kuala Lumpur hanya akan mengendalikan projek berkaitan Asia manakala Lisbon memberi tumpuan kepada Eropah. Semua hab akan bekerjasama dalam inisiatif global yang sama serta berkongsi kepakaran dan pengetahuan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd