LATEST

Tuntutan RM1 juta menanti! Usahawan mohon maaf, kini akui Air Kelantan terbaik di dunia

Tuntutan RM1 juta menanti! Usahawan mohon maaf, kini akui Air Kelantan terbaik di dunia

Seorang usahawan yang sebelum ini mengkritik kelemahan perkhidmatan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini tampil menyatakan kesediaan mematuhi tuntutan syarikat berkenaan selepas berdepan tuntutan ganti rugi berjumlah RM1 juta.

Tak ada kemampuan bayar saman

Menerusi hantaran di Facebook, Asran Alias, 44, menyatakan, dia bersedia memenuhi tuntutan yang dikemukakan AKSB, namun mengakui tidak mempunyai kemampuan untuk membayar jumlah berkenaan.

Baca juga: Warga India yang ingin ke Malaysia tahun depan perlu mohon visa mulai 1 Disember ini

Dia turut memohon pandangan dan nasihat supaya kemelut berkenaan dapat diselesaikan kerana mahu memberikan tumpuan kepada perniagaan serta kesihatan.

“Mohon nasihat supaya masalah ini selesai, saya nak fokus pada perniagaan dan kesihatan sahaja.
“Mulai hari ini saya akui bahawa AKSB adalah syarikat perkhidmatan air terbaik di dunia, air paling bersih, sistem aduan paling canggih,” tulisnya.

Pihak peguam AKSB sifatkan kenyataan tersebut fitnah

Terdahulu, Asran dilaporkan pernah memuat naik kenyataan di Facebook yang menyifatkan AKSB sebagai syarikat perkhidmatan air paling lemah di dunia.

Walau bagaimanapun, firma guaman yang mewakili AKSB menerusi surat tuntutan (LOD) menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai fitnah dan mempunyai niat jahat.

Menurut firma guaman itu, semakan pihak AKSB mendapati tiada rekod aduan rasmi dibuat atas nama Asran berkaitan mutu perkhidmatan air, kelewatan memproses permohonan bekalan air mahupun pengurusan aduan.

“Anak guam kami tegaskan keseluruhan kenyataan yang diterbitkan oleh Asran dibuat tanpa sebarang asas yang munasabah khususnya apabila dakwaan-dakwaan tersebut bersifat umum yang dilakukan secara sengaja untuk memberi gambaran negatif serta mengundang kebencian masyarakat terhadap anak guam kami secara melampau,” kata firma guaman itu dalam LOD berkenaan.

Susulan itu, AKSB menuntut Asran membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Facebook, memadam kenyataan berkenaan serta membayar RM1 juta sebagai ganti rugi atas dakwaan fitnah yang didakwa menjejaskan reputasi, imej dan kredibiliti syarikat.

Sumber: Facebook Asran Alias

Latest news