LATEST

Guardiola intai cabaran bersama pasukan kebangsaan

Guardiola intai cabaran bersama pasukan kebangsaan

London: Bekas pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata tugas kejurulatihan seterusnya adalah bersama pasukan kebangsaan selepas menolak peluang membimbing Itali tahun ini.

Baca juga: Real, Barcelona gagal capai pendamaian

Guardiola mengadakan perbincangan dengan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), namun berkata tawaran itu datang ketika beliau merasakan sudah tiba masanya untuk berehat daripada dunia kejurulatihan.

“Saya berbincang dengan mereka dan ia satu penghormatan,” kata Guardiola dalam temu bual bersama bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Romario.

“Ia antara penghormatan terbesar yang pernah saya terima apabila mereka mempertimbangkan saya untuk melatih Itali. Tetapi tawaran itu datang ketika saya perlu berhenti seketika.

“Jika peluang itu datang setahun atau dua tahun lebih awal, mungkin saya akan menerimanya. Tetapi apabila Paolo Maldini dan Leonardo, yang amat saya hormati, menghubungi saya, ketika itu saya benar-benar perlu berehat,” katanya.

Guardiola meninggalkan City pada penghujung musim lalu selepas mencipta kejayaan sepanjang sedekad mengendalikan kelab itu dengan memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk empat kali berturut-turut yang belum pernah dicapai sebelum ini, selain tiga Piala FA, lima Piala Liga dan Liga Juara-Juara.

Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, tuntutan tugas mengendalikan kelab selama hampir dua dekad menyebabkan beliau perlu berehat.

“Saya tidak tahu berapa lama saya akan berehat. Buat masa ini, saya berasa sangat baik. Tetapi jika suatu hari nanti saya kembali ke bola sepak, ia akan berlaku apabila hati saya memberitahu bahawa sudah tiba masanya,” kata Guardiola.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news