Barcelona: Real Madrid dan Barcelona gagal mencapai persetujuan dalam sesi pendamaian berhubung kenyataan yang dibuat Presiden Los Blancos, Florentino Perez mengenai skandal pengadilan Negreira, menurut sumber daripada kelab Catalan itu kepada AFP.
Baca juga: Tuntutan RM1 juta menanti! Usahawan mohon maaf, kini akui Air Kelantan terbaik di dunia
Sesi pendamaian itu susulan saman yang difailkan Barcelona pada 12 Jun terhadap Perez berhubung kenyataannya pada Mei, apabila beliau menuduh juara Sepanyol itu berpakat untuk mendapatkan ‘layanan’ daripada pengadil.
“Tujuan saman ini adalah supaya Perez menarik balik beberapa kenyataan yang dibuatnya, sedangkan beliau tahu kenyataan itu tidak benar, bersifat memfitnah serta menjejaskan imej dan reputasi kelab,” kata Barcelona ketika memulakan tindakan undang-undang berkenaan.
“Jika saman ini tidak ditangani sewajarnya, Barcelona akan meneruskan tindakan dengan membuat laporan jenayah atas dakwaan fitnah,” tambah Barca pada Jun.
“Apabila seseorang membuat kenyataan dan mungkin tersilap atau keterlaluan dalam kata-kata, sesi pendamaian memberi peluang untuk membetulkannya,” kata Presiden Barca, Joan Laporta kepada pemberita sebelum sesi pendamaian, hari ini.
“Jika peluang itu tidak diambil, bermakna kami melihat wujud niat jahat dan kami perlu meneruskan prosiding.”
Barca kini boleh membuat laporan jenayah terhadap Perez berhubung kenyataannya.
Punca utama kemarahan kelab Catalan itu ialah sidang media pada 12 Mei apabila Perez mengumumkan pemilihan bagi jawatan Presiden Real, yang kemudiannya dimenanginya.
Dalam sidang media itu, beliau mengulangi dakwaannya terhadap Barca berhubung perkara yang dikenali sebagai ‘kes Negreira’.
Mahkamah Sepanyol sedang menyiasat dakwaan pembayaran berjumlah kira-kira €7.5 juta (RM33 juta) yang dibuat Barcelona sepanjang hampir dua dekad kepada syarikat milik Jose Maria Enriquez Negreira, bekas individu nombor dua dalam hierarki pengadilan bola sepak Sepanyol.
Siasatan itu bertujuan menentukan sama ada pembayaran berkenaan digunakan untuk mendapatkan sebarang kelebihan dalam persaingan, sesuatu yang dinafikan Barcelona dengan mendakwa bayaran itu semata-mata untuk laporan yang menganalisis prestasi pengadil.
© New Straits Times Press (M) Bhd