BATU KAWAN: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi perhatian terhadap risiko peningkatan masalah anemia dalam kalangan remaja serta masalah bantut yang masih berterusan berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius berikutan wujud jurang pemakanan yang membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja yang tidak mendapat pengambilan nutrisi mencukupi.
Baca juga: Phnom Penh Crown sasar kemenangan
Beliau berkata, risiko anemia dalam kalangan remaja dijangka meningkat sekiranya aspek pemakanan, pengambilan susu dan protein tidak diberikan perhatian sewajarnya.
“Kita sedang berdepan situasi yang perlu dijangka lebih awal, apabila isu seperti anemia dijangka meningkat dalam kalangan remaja sekiranya mereka tidak menjaga pemakanan, minum susu atau mengambil protein yang mencukupi,” katanya ketika berucap pada Majlis Gala Hari Susu Sekolah Sedunia 2026 di sini, hari ini.
Menurut Fadhlina, masalah bantut juga masih berterusan dalam kalangan kanak-kanak, justeru usaha memperkukuh program sokongan pemakanan perlu diberi perhatian, terutama di peringkat awal persekolahan.
Katanya, tumpuan pemakanan ketika ini diberikan kepada peringkat prasekolah dan sekolah rendah menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT), program Hidangan Berkhasiat (HiTS) serta pelbagai program sokongan pemakanan lain.
Bagaimanapun, katanya, keperluan berkenaan turut melibatkan murid sekolah menengah yang berdepan cabaran pemakanan sama.
Beliau berkata, usaha memastikan murid mendapat makanan mencukupi juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya agenda sifar kelaparan atau Zero Hunger.
“Anak-anak kita tak boleh pergi ke sekolah dalam keadaan lapar. Ia akan memberikan kesan yang sangat besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Farm Fresh atas komitmen sebagai rakan sinergi KPM menerusi pelaksanaan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, kerjasama berkenaan bukan sekadar hubungan perniagaan, sebaliknya membentuk ekosistem yang turut menyumbang kepada pembangunan komuniti, peluang keusahawanan dan pengukuhan ekonomi masyarakat.-UTUSAN.
The post KPM tumpu isu anemia, bantut dalam kalangan murid appeared first on Utusan Malaysia.