LATEST

Video tular warga asing naik lori sampah rakaman setahun lalu – KPD Sepang

Video tular warga asing naik lori sampah rakaman setahun lalu – KPD Sepang

safeek@bh.com.my

Baca juga: Harga minyak sawit dijangka kekal lebih RM4,100 satu tan bulan depan – MPOC

Kuala Lumpur: Video memaparkan beberapa individu dipercayai warga asing menaiki lori sampah sambil membawa beg yang tular di media sosial dipercayai rakaman lama yang berlaku kira-kira setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata pihaknya mengesan video berdurasi 34 saat itu yang tular menerusi akaun Threads nyzamferiy, semalam.

Beliau berkata, video berkenaan memaparkan beberapa individu dipercayai warga asing menaiki sebuah lori sampah dan membawa beg, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tujuan penggunaan kenderaan itu serta kemungkinan wujud unsur penyeludupan.

“Hasil siasatan mendapati individu yang dipaparkan adalah pekerja pembersihan sampah di sebuah syarikat yang sudah berpindah ke Kajang kira-kira setahun lalu susulan tamatnya kontrak perkhidmatan pembersihan pada penghujung Disember 2025.

“Kejadian sama juga pernah tular menerusi aplikasi TikTok kira-kira setahun lalu,” katanya kepada media hari ini.

Norhizam berkata, semakan lanjut mendapati papan tanda premis yang kelihatan dalam video itu adalah papan tanda lama, manakala premis berkenaan kini sudah disewakan kepada pihak lain.

Berdasarkan siasatan awal, katanya, polis percaya video berkenaan adalah rakaman lama.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) menerusi talian 03-87774484 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news