am@hmetro.com.my
Baca juga: Keluarga jadi alasan Ara Johari terus bertahan dalam industri seni
Kuala Lumpur: Sebanyak 30 pokok hutan tempatan ditanam dan 700 benih ikan lampam dilepaskan ke Tasik Metropolitan Kepong menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pengarah Projek Karnival Jom Heboh, Eileen Lim, berkata inisiatif memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekosistem alam sekitar, sekali gus memperluas skop bantuan CSR sempena penganjuran karnival berkenaan di setiap negeri.
Beliau berkata, inisiatif Jom Bantu dibawakan Affin Bank sebelum ini memberi sumbangan kepada golongan memerlukan termasuk warga emas dan anak yatim, manakala aspek pemeliharaan alam sekitar menjadi fokus bagi penganjuran kali ini.
“Jom Bantu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan setiap kali Karnival Jom Heboh berlangsung di negeri berbeza.
“Sebelum ini, kita sudah memberi sumbangan kepada warga emas dan anak yatim. Kali ini, giliran alam sekitar pula.
“Kami berbangga dan berterima kasih kepada Affin Bank kerana sentiasa bersama menjayakan inisiatif Jom Bantu ini,” katanya kepada media selepas program CSR Jom Bantu bersama Affin Bank, sempena Karnival Jom Heboh 2026 Kuala Lumpur, di Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, hari ini.
Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berlangsung dari jam 3 petang hingga 5 petang itu turut merangkumi aktiviti pembajaan pokok sedia ada di kawasan taman tasik.
Turut hadir, Pengurus, Acara Korporat Kumpulan dan Kolaborasi, Komunikasi Strategik, Affin Bank Berhad, Fatin Atiqa Hassan; Ketua, Jualan Pembiayaan, Affin Bank Berhad Qamarul Jamly Abdul Jamal; Arkitek landskap Taman Tasik Metropolitan Kepong, Anuar Ahmad serta wakil Taman Tasik Metropolitan Kepong, Sharifah Dora Syed Mohamad.
Sementara itu, Eileen berkata, inisiatif berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar, selain menggalakkan lebih banyak pihak korporat dan orang ramai menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Dengan inisiatif Jom Bantu kali ini dan setiap negeri yang kita pergi, kita harap lebih ramai lagi korporat dan orang ramai boleh bersama untuk mengetengahkan apa yang kita boleh selalu ‘give back’.
“Kita boleh bantu kepada rakyat, ekosistem dan juga alam sekitar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd