LATEST
National

Garnacho merajuk dengan Villa?

Garnacho merajuk dengan Villa?

LONDON: Bekas bintang Manchester United, Alejandro Garnacho sekali lagi mencetuskan perhatian di media sosial selepas memadam semua perkara berkaitan Aston Villa daripada akaun Instagram miliknya.

Baca juga: AS cadang kenakan tarif tambahan 18 peratus terhadap barangan Malaysia

Garnacho, 22, menerima kritikan daripada pengendali Villa, Unai Emery selepas pemain sayap itu tidak disenaraikan dalam skuad untuk menentang Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara meskipun masih terdapat satu slot kosong di bangku simpanan.

Pasukan kendalian Emery tewas 0-1 kepada kelab gergasi Turki itu, namun ketika ditanya mengenai ketiadaan pemain Argentina berkenaan, Emery berkata: “Hari ini, pemain yang berada di sini adalah mereka yang saya fikir paling layak bersama kami dan beraksi untuk pasukan.”

Pemain Chelsea yang dipinjamkan ke Villa itu hanya membuat tujuh penampilan sebagai pemain gantian di bawah kendalian Emery.

Dia juga tidak disenaraikan dalam skuad ketika menentang Sunderland hujung minggu lalu, yang berkesudahan seri 0-0.

Garnacho membalas kritikan itu dengan memadam semua perkara berkaitan kelab semasanya daripada laman Instagram, termasuk membuang gambar profil dan menggantikannya dengan gambar “telur”, selain memadam biodata yang kini hanya memaparkan perkataan “ahli sukan”.

Malah, dia turut mengambil langkah lebih jauh dengan meletakkan hantaran mengenai kejayaan menjulang Piala FA bersama Manchester United pada 2024 di bahagian paling atas akaunnya.

Perubahan itu disedari peminat yang pantas memberikan reaksi di media sosial, malah ada penyokong Manchester United berpendapat Garnacho mampu mendapat tempat dalam pasukan mereka ketika ini susulan prestasi tidak menentu kelab berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news