am@hmetro.com.my
Baca juga: Contohi kejayaan Farm Fresh perkukuh keterjaminan makanan negara – Anwar
Kuala Lumpur: Kapal Tempur Pesisir (LCS) kedua akan menerima jadual penghantaran baharu tahun depan susulan kelewatan penyiapan kapal pertama, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Beliau berkata, kelewatan penghantaran LCS1 yang kini dijadualkan pada April depan akan memberi kesan kepada kapal kedua, namun tidak menjejaskan jadual penghantaran LCS3, LCS4 dan LCS5.
“LCS2 akan mempunyai jadual baharu, namun masih dalam tahun depan. Kelewatan LCS1 akan memberi kesan kepada LCS2.
“Bagaimanapun, penghantaran kapal LCS ketiga, keempat dan kelima berjalan mengikut jadual ditetapkan,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.
Adly menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang ingin mengetahui sama ada penghantaran LCS2 masih mengikut jadual susulan kelewatan kapal pertama.
LCS3 dijadual ditauliahkan pada Disember tahun depan, manakala LCS4 pada Ogos 2028 dan LCS5 pada April 2029.
Bagaimanapun, Adly tidak mendedahkan jadual penghantaran baharu LCS2, sebaliknya berkata, jadual berkenaan akan dikeluarkan secara bertulis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu bekalan membabitkan perjanjian pembelian peluru berpandu anti-kapal (NSM) dari Norway turut menjejaskan keupayaan keseluruhan kapal LCS, sekali gus memerlukan kerajaan mencari penyelesaian bagi memastikan keperluan persenjataan kapal berkenaan dipenuhi.
Katanya, dua pendekatan diambil bagi menangani isu itu, iaitu meneruskan tindakan undang-undang terhadap Norway serta meneroka sumber alternatif bagi memenuhi keperluan peluru berpandu LCS.
“Kami terus mengadakan perbincangan dan mengambil tindakan lanjut berhubung perkara ini.
“Terbaharu, kami turut mengadakan perbincangan di Turkiye memandangkan beberapa negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terbabit dalam usaha mencari penyelesaian dari sudut perundangan terhadap isu berkenaan.
Beliau menambah, kerajaan belum mengadakan sebarang rundingan dengan Norway susulan keputusan negara itu menarik balik lesen eksport peluru berpandu secara unilateral.
Sementara itu, katanya, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan bersetuju meneroka penggunaan peluru berpandu alternatif dengan syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan.
Antara pilihan yang dicadangkan ialah peluru berpandu Atmaca keluaran syarikat berkenaan, susulan jaminan Roketsan pembangunan sistem itu boleh disiapkan dalam tempoh enam bulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd