LATEST

Cuci pinggan RM60 sehari

Cuci pinggan  RM60 sehari

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Baca juga: Bazar Karat JB makin lesu, lokasi kurang strategik

Klang: “Saya sudah biasa bekerja sejak di bangku sekolah lagi jadi tak ada masalah nak buat kerja apa pun selagi daripada sumber rezeki yang halal.

“Niat saya nak tambah pendapatan menyara anak selain bantu emak dengan ayah kerana tak nak jadi beban sesiapa.”

Itu kata ibu tunggal, Nurdiyana Zulkefli, 32, yang bekerja tetap sebagai eksekutif sokongan jualan, namun sanggup mengambil upah dengan mencuci pinggan pada hujung minggu demi menambah pendapatan.

Segalanya dilakukan untuk kelangsungan hidupnya bersama tiga anak berumur dua, lima dan tujuh tahun.

Berkongsi kisah, Nurdiyana berkata, dia ambil upah sebagai pencuci pinggan di gerai rakannya sejak tiga bulan lalu.

Menurut Nurdiyana, keperluan membayar komitmen bulanan seperti rumah, motosikal dan keperluan anak mendorong bekerja sambilan.

Ia kerana gaji bulanan kerja tetap tidak mencukupi selepas semua komitmen bulanan dan hutang dilangsaikan.

“Menyedari kemampuan diri, saya cuba cari kerja dan tak kisah buat apa pun selagi halal kerana waktu sekolah, saya pernah bekerja di sebuah restoran makanan segera kerana tak nak bergantung dengan emak juga ayah.

“Kebetulan, ada seorang rakan cari pencuci pinggan di gerainya, jadi saya cuba mohon dan awalnya dia terkejut.

“Rezeki saya apabila diterima bekerja dan syukur kerana diberi peluang untuk menambah pendapatan,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nurdiyana berkata, rutin kerjanya itu bermula jam 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap Sabtu dan Ahad sahaja.

Berikutan itu, kerja sambilan dilakukan langsung tidak mengganggu masa dan komitmen tugas hakikinya.

“Saya dapat gaji harian iaitu RM60 sehari dan kawan sebagai pemilik gerai juga tak berkira, malah sangat baik kerana beri saya makan juga.

“Buat masa ini, saya tinggalkan anak di bawah jagaan emak dan ayah atau individu terdekat untuk membantu mereka buat sementara.

“Mereka faham begitu juga anak sulung yang sangat memahami malah seakan sudah matang kerana boleh diharap untuk menolong menjaga adiknya,” katanya.

Selagi terdaya, Nurdiyana akan terus melakukan pekerjaan itu kerana keutamaannya menampung keperluan anak dan matlamat melangsaikan hutang yang ada.

“Bekas suami ada beri keperluan anak…cuma saya bersyukur sejak buat dua pekerjaan, saya dapat belikan juga apa yang anak hajatkan.

“Nak cari kerja sambilan lain itu tidak kerana okey saja bekerja sebagai pencuci pinggan walaupun ada yang tak percaya bila saya cakap buat kerja berkenaan.

“Tapi, kalau ada lagi ruang dan peluang menambah pendapatan, saya mahu malah sebelum ini pun saya ada ambil tempahan menyediakan makanan infaq dan pencuci mulut seperti kek batik juga brownies.

“Cuma pendapatannya tidak menentu kerana bergantung tempahan jadi kena ikhtiar cara lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news