LILLE (Perancis): Bayern Munich mengalami kekalahan pertama mereka musim ini apabila tewas 1-2 kepada Lille dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi, sekali gus memburukkan lagi minggu yang sukar buat gergasi bola sepak Jerman itu.
Baca juga: Garnacho merajuk dengan Villa?
Dayot Upamecano membuka jaringan buat Bayern sebelum Ayase Ueda menyamakan kedudukan untuk Lille, manakala jaringan sendiri Aleksandar Pavlovic menghadiahkan kemenangan kepada pasukan tuan rumah.
Bayern satu-satunya kelab dalam lima liga utama Eropah yang masih belum tewas dalam sebarang pertandingan musim ini, namun rekod tersebut akhirnya lebur di tangan Lille yang sebelum perlawanan itu berada di tangga kedua tercorot carta liga.
Kekalahan itu menambahkan lagi episod malang Bayern sejak beberapa hari lalu. Mereka kehilangan penyerang sensasi, Harry Kane yang terpaksa berehat selama beberapa bulan akibat kecederaan serius pada buku lali pada Jumaat lalu. Selepas itu, Michael Olise pula diketepikan akibat masalah kecederaan kaki.
Ketua jurulatih, Vincent Kompany, yang baru kembali bertugas minggu ini selepas berehat selama sebulan akibat masalah kesihatan, memasukkan Jamal Musiala sebagai pemain gantian untuk baki 15 minit terakhir perlawanan.
Musiala menjadi perhatian media minggu ini selepas beberapa anggota pengurusan tertinggi Bayern mencadangkan supaya pemain berusia 23 tahun itu menerima pemotongan gaji ketika dia sedang berdepan masalah kesihatan neurologi. Cadangan itu mendapat kecaman hebat daripada kesatuan pemain.
Kekalahan di Perancis menyaksikan Bayern berada di tangga ke-15 carta Liga Juara-Juara dengan berbaki tiga perlawanan, manakala kemenangan pertama Lille melonjakkan mereka sehingga hanya dua mata dipisahkan daripada kedudukan ke pusingan kalah mati.
Barisan serangan Bayern pula hanya menampilkan seorang pemain yang benar-benar berperanan sebagai penyerang, iaitu pemain sayap berusia 18 tahun, Lennart Karl.
Karl yang berketinggian 1.68 meter mengetuai jentera serangan, manakala Kompany menyenaraikan tiga pemain pertahanan di belakangnya.
Pertahanan tengah Bayern, Upamecano, yang pernah beraksi sebagai penyerang menolak secara berseloroh cadangan bahawa dia mungkin diturunkan di posisi serangan meskipun berjaya menjaringkan gol dalam dua daripada empat perlawanan Bundesliga terakhirnya.
Namun, selepas 15 minit permainan, pertahanan Perancis itu mengambil alih peranan Kane yang cedera apabila melompat tinggi untuk menanduk masuk gol pembukaan Bayern hasil sepakan sudut Tom Bischof.
Bayern mengawal permainan sehingga tamat separuh masa pertama, namun mereka bernasib baik apabila bantuan Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkan gol Ueda pada awal babak kedua kerana melakukan kekasaran terhadap Joshua Kimmich.
Bagaimanapun, penyerang Jepun itu tidak perlu menunggu lama untuk mencatat nama sebagai penjaring.
Sejurus selepas sejam permainan, Ueda menyudahkan hantaran Nathan Ngoy dengan merembat bola ke penjuru bawah gawang untuk menyamakan kedudukan.
Lille mendahului perlawanan hanya empat minit kemudian apabila Pavlovic secara tidak sengaja menolak masuk ke gawang sendiri percubaan Ethan Mbappe.
Mbappe melakukan gerakan serangan balas sebelum melepaskan rembatan lemah yang terkena tiang ketika penjaga gol Bayern sudah tertewas. Namun, Pavlovic gagal mengelak bola tersebut daripada memasuki gawang sendiri.
Kompany kemudian memasukkan Musiala dan Luis Diaz, yang kembali beraksi selepas lebih sebulan berehat, namun Bayern gagal mencari gol penyamaan apabila Lille bertahan sehingga wisel penamat untuk mencatat kemenangan berharga dan penuh bermakna.
© New Straits Times Press (M) Bhd