Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa doktor, guru dan penjawat awam lain supaya tidak terlalu memilih lokasi penempatan kerana khidmat mereka turut diperlukan oleh penduduk luar bandar dan pedalaman.
Memetik laporan Sinar Harian, Anwar berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan penyesuaian penempatan jika keadaan mengizinkan. Bagaimanapun, katanya, keperluan penduduk di kawasan terpencil untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan, termasuk rawatan kesihatan, perlu diberi keutamaan.
Baca juga: Transit sampai bila? Syed Saddiq soal penempatan pelarian ke negara ketiga
“Ada juga masalah penempatan…tetapi kalau penempatan di mana boleh kita ubah suai, kita sesuaikanlah.
“Tetapi bagaimana kalau kita fikir pilihan? Siapa yang nak memilih jadi doktor di Kapit, (Sarawak) di Gua Musang, di Ulu Kelantan?” katanya dalam program Dialog Negara yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik.
Anwar menyebut Kapit di Sarawak serta Gua Musang dan Ulu Kelantan ketika membangkitkan persoalan siapa yang sanggup mengisi penempatan di kawasan berkenaan. Katanya, isu itu turut melibatkan guru dan jurutera.

Menurut beliau, penempatan penjawat awam di kawasan berkenaan penting bagi memastikan penduduk pedalaman di Sabah, Sarawak dan Semenanjung terus mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan.
Program itu turut disiarkan serentak menerusi Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS. Antara panel yang terlibat ialah pegawai perubatan Dr Malar Santhi Santherasegapan, Pengarah Strategi Kumpulan KRA Amir Fareed Rahim dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal.
Sumber: Sinar Harian