KUALA LUMPUR: Nilai rampasan keseluruhan di pintu masuk negara menerusi penguatkuasaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) meningkat melebihi empat kali ganda kepada RM322.74 juta sehingga Oktober lalu, berbanding RM82.10 juta pada tahun pertama operasia pada 2025.
Baca juga: Pochettino yakin Man United mampu bangkit kembali
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pencapaian itu merangkumi 16,357 kes penguatkuasaan didorong sumbangan ketara Sektor Biosekuriti (RM72.05 juta) dan Sektor Kastam/Percukaian (RM50.84 juta), termasuk kejayaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas (RM21.37 juta), Pelabuhan Pulau Pinang (RM7.14 juta) serta ICQS Bukit Kayu Hitam (RM3.62 juta).
”Keberkesanan kawalan dan pemeriksaan bersepadu AKPS terbukti menerusi lonjakan prestasi penguatkuasaan yang ketara.
”Keseluruhan pencapaian ini membuktikan penubuhan AKPS bukan sekadar satu penstrukturan semula pentadbiran, malah reformasi institusi yang berimpak tinggi dalam memperkukuh keselamatan sempadan, memudah cara perdagangan serta pelancongan dan melindungi hasil negara,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada soalan lisan Rodziah Ismail (PH-Ampang) di Dewan Rakyat, semalam.
AKPS ditubuhkan berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 3 Januari 2024 dan diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 [Akta 860] yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Agensi itu bermula secara fasa rintis di ICQS Rantau Panjang pada 1 Januari 2025 dengan diperluas ke 21 pintu masuk utama pada 1 Februari 2025, dan kini menerajui kawalan di 123 pintu masuk aktif darat, udara serta laut di seluruh negara.
Dari sudut tadbir urus, AKPS menyatukan fungsi pemeriksaan dan penguatkuasaan enam agensi teras iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di bawah satu rantaian perintah tunggal bagi merungkai budaya kerja secara silo.
Pelaksanaan Skim Perkhidmatan Kawalan dan Perlindungan Sempadan mulai 1 Julai 2026 pula melengkapkan penggabungan enam agensi teras menerusi tawaran opsyen pertukaran pelantikan, selain pengambilan sulung seramai 408 pegawai (39 Penolong Penguasa dan 369 Pembantu Penguasa) untuk bertugas di pintu masuk baharu projek Rapid Transit System (RTS) Link di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.
Saifuddin berkata, kecekapan pemeriksaan penumpang dan barangan turut dipertingkat menerusi integrasi teknologi termasuk Sistem Saringan Awal Risiko Pengembara (APSS), pengisian Malaysia Digital Arrival Card (MDAC), semakan dokumen perjalanan serta tempahan penginapan yang diperketat, selain penugasan pegawai secara omnipresence (sentiasa ada) dan penyelia di laluan e-Gate.
Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura di Kompleks Sultan Ibrahim, Bukit Chagar pula menjadi perintis model pintu masuk antarabangsa menggunakan pemeriksaan co-located atau pelepasan di satu lokasi, yang dijangka mula beroperasi menjelang Februari 2027.
Dalam aspek pemerkasaan keselamatan sempadan, Operasi Task Force Saringan 100 Peratus di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Aviation Security (AVSEC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKDM dan PERHILITAN dari 10 Ogos hingga 13 November 2026 memeriksa 4,569 penerbangan, 21,526 kru penerbangan, 483,119 pemeriksaan badan (pat-down) serta 711,160 bagasi daftar masuk membabitkan 10 destinasi utama.
Operasi berkenaan mengesan 16 barangan larangan serta menumpaskan 16 kes penyeludupan dadah bernilai RM34.89 juta dengan berat keseluruhan 436.66 kilogram.
Sementara itu, bagi kes pelanggaran integriti membabitkan sindiket ‘counter setting’ dan ‘flying passport’ sehingga November 2026, seramai 27 pegawai dikenakan tindakan tegas iaitu 19 dibuang kerja dan lapan lagi ditahan kerja susulan pertuduhan di mahkamah.
© New Straits Times Press (M) Bhd