Alor Setar: Seorang wanita bimbang keselamatan adik lelakinya, seorang penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang dipercayai hilang sejak kira-kira lima minggu lalu.
Baca juga: England buru kemenangan kedua berturut-turut ke atas All Blacks
Nur Fatihah Mat Daud, 33, dari Kampung Sedaka Tengah, Yan, Kedah berkata, dia hanya mengetahui mengenai kehilangan adiknya, Muhammad Shafik Hidayat, 22, kira-kira tiga hari lalu menerusi mesej yang tular di aplikasi WhatsApp.
“Saya dapat pesanan mesej yang memaklumkan adik saya sudah lama tidak hadir ke kelas di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pihak universiti juga ada menghubungi saya untuk maklumkan mengenai perkembangan kehilangannya, namun sehingga kini dia masih belum ditemui.
“Kali terakhir saya berhubung dengan adik pada 3 Oktober lalu ketika menghantarnya menaiki bas untuk ke Kajang. Ketika itu, dia masih membalas mesej seperti biasa namun selepas itu, apabila saya cuba menghubunginya, ia sudah tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Nur Fatihah berkata, adiknya tidak pernah menceritakan sebarang masalah kepadanya dan selama ini dia menyangka Muhammad Shafik Hidayat sedang mengikuti pengajian seperti biasa serta berada dalam keadaan baik di universiti.
“Selepas kedua-dua ibu bapa kami meninggal dunia kira-kira empat, lima tahun lalu, saya hanya ada dia sahaja kerana kami dua beradik. Jadi, saya amat berharap agar adik saya dapat ditemui segera dan berada dalam keadaan selamat.
“Saya membuat laporan polis dan pihak universiti memaklumkan mereka juga telah membuat laporan polis. Saya mohon sekiranya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau terlihat adik saya untuk tampil membantu atau segera menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan pelajar Tahun Tiga, Fakulti Sains Citra UKM yang memaklumkan bahawa pelajar berkenaan tidak hadir ke universiti selama kurang lima minggu dan sehingga kini keberadaannya masih belum diketahui.
Pihak universiti telah cuba menghubungi nombor telefon pelajar berkenaan, namun panggilan tidak berjawab dan berharap sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan pelajar itu untuk menghubungi pihak universiti atau polis dengan segera.
© New Straits Times Press (M) Bhd