Dalam kesibukan mengejar impian dan kebahagiaan duniawi, adakalanya kita terlupa untuk mempersiapkan bekalan menuju akhirat demi meraih husnul khatimah.
Penyanyi, Hazwani Helmi menitipkan pesanan penuh makna agar orang ramai tidak terlalu leka dengan kehidupan dunia, sebaliknya memperbanyakkan amal ibadah demi meraih pengakhiran hidup yang baik atau husnul khatimah.
Baca juga: The Melvins! Rahsia Pesona 5 Beradik Cantik, Berjaya & Inspirasi!
Menerusi perkongsian di Threads, Hazwani atau nama sebenarnya Nur Hazwani Afiqah Helmi meluahkan keinginan untuk mengetahui amalan insan yang dikurniakan kematian husnul khatimah.
Husnul Khatimah: Tahu Amalan Kebaikan, Namun Belum Tentu Mampu Istiqamah
Menurut Hazwani, meskipun amalan tersebut sudah diketahui ramai, namun belum tentu setiap daripada kita mampu melaksanakannya secara istiqamah.
“Kalau kita ada kuasa luar biasa, saya teringin nak tanya kepada mereka yang sudah berada di alam kubur.
“Apakah amalan mereka sehingga mereka mendapat husnul khatimah?
“Tapi, jawapan itu kita semua sudah tahu. Cuma belum tentu kita nak buat,” kongsinya.

Andai Tahu Bila Akan Dijemput Ilahi
Dalam pada itu, pelantun lagu Mengukir Takdir tersebut turut mengingatkan tentang betapa berharganya masa untuk dimanfaatkan dengan memperbanyakkan amal ibadah.
“Seandainya kita tahu bila kita akan meninggal dunia, mesti kita semua tak sempat bermain media sosial.
“Semua akan sibuk untuk memperbanyakkan ibadah, membaca al-Quran dan khususnya berinfaq.”
Hazwani turut menitipkan doa agar setiap insan diberikan kekuatan untuk terus istiqamah dalam melakukan amal kebaikan.
“Semoga Allah menerima amalan kita, memberikan kekuatan untuk terus istiqamah dan semoga kita dikurniakan husnul khatimah. Amin.”
Jangan Tunggu Sempurna Untuk Mendekati Allah
Buat para hijabi, perkongsian ini wajar dijadikan renungan dalam perjalanan memperbaiki diri untuk menjadi Muslimah yang lebih baik.
Tidak perlu menunggu usia tua untuk berubah dan tidak perlu menunggu diri sempurna untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Mulakan dengan menjaga solat, memperbanyakkan istighfar, membaca al-Quran dan bersedekah mengikut kemampuan.
Hakikatnya, kecantikan akan pudar, kemewahan akan ditinggalkan dan kehidupan dunia tidak kekal selamanya.
Semoga setiap langkah kecil kita menuju kebaikan mendapat keredaan Allah SWT serta dikurniakan pengakhiran hidup yang husnul khatimah. Amin.
Sumber: Threads Hazwani Helmi