LATEST
Social Media

Warga Bangladesh catat angka tertinggi langgar syarat pas imigresen

Warga Bangladesh catat angka tertinggi langgar syarat pas imigresen

Warga Bangladesh mencatat jumlah tertinggi dalam rekod pelanggaran syarat pas imigresen di Malaysia, dengan 6,898 individu direkodkan sejak 2023 hingga 15 September 2026.

Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, warga Thailand berada di kedudukan kedua dengan 4,856 individu, diikuti Indonesia (2,154), China (1,207), Vietnam (1,046) dan Pakistan (823).

Rekod itu turut membabitkan warga Myanmar (531), India (500), Nepal (328), Laos (172) dan Filipina (157), selain warga negara lain.

“Sebanyak 18,838 kesalahan melanggar syarat pas di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 direkodkan bagi tempoh berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Saifuddin menjelaskan bahawa pas lawatan sosial dan pengecualian visa bagi tujuan lawatan sosial atau pelancongan tidak memberi kebenaran kepada warga asing untuk bekerja atau menjalankan perniagaan di Malaysia. Mereka perlu memiliki pas atau permit yang sah bagi aktiviti berkenaan.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan 5,053 operasi di seluruh negara dari 1 Januari hingga 31 Mei 2026 susulan aduan dewan perniagaan mengenai kegiatan komersial dan peruncitan yang dijalankan secara haram oleh warga asing.

“Operasi berkenaan melibatkan pemeriksaan terhadap 72,854 individu dan membawa kepada penahanan 2,306 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) atas kesalahan melanggar syarat pas,” tambahnya lagi.

Dalam tempoh sama, seramai 801 majikan turut diambil tindakan kerana menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa Ops Selera merekodkan 2,338 tangkapan menerusi 759 operasi. Ops Belanja pula mencatat 589 tangkapan daripada 409 operasi, manakala Ops Jaja membawa kepada 90 tangkapan menerusi 75 operasi.

Selain menjalankan operasi, JIM menugaskan pegawai untuk memantau dan memeriksa premis serta memberi nasihat dan amaran kepada pemilik premis dan majikan. Jabatan Imigresen di setiap negeri turut disasarkan untuk meningkatkan jumlah operasi dan tindakan terhadap majikan yang melakukan kesalahan imigresen.

Sumber: Sinar Harian

More in Social Media

View all

Latest news