Intipati Berita
- Syabu seberat tiga tan bernilai lebih RM70 juta dikenal pasti diseludup melalui dua pangkalan TUDM sejak dua tahun lalu.
- Sebanyak 21 transaksi dikesan, iaitu tujuh di Pangkalan TUDM Tawau dan 14 di Pangkalan TUDM Labuan.
- Setakat ini, 13 individu termasuk tujuh anggota dan pegawai TUDM telah ditahan.
Syabu seberat tiga tan bernilai lebih RM70 juta dikenal pasti diseludup melalui dua pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak dua tahun lalu.
Baca juga: Nilai rampasan AKPS melonjak lebih 4 kali ganda, 19 pegawai dibuang kerja
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dadah tersebut diseludup menerusi 21 transaksi melibatkan Pangkalan TUDM Tawau dan Pangkalan TUDM Labuan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, berhubung perincian hasil risikan serta dakwaan sindiket itu telah beroperasi bagi suatu tempoh yang lama.
Tujuh Transaksi Di Tawau, 14 Di Labuan
Menurut Saifuddin, tujuh transaksi dikesan melalui sel Tawau, manakala 14 lagi berlaku di Labuan sejak Ogos 2024.
Sebanyak tujuh transaksi dengan syabu seberat 1.8 tan, membabitkan nilai RM9.3 juta (diseludup keluar dari) sel Tawau.
Di Labuan pula, sebanyak 14 transaksi sudah berlaku sejak Ogos 2024, membabitkan syabu seberat 1.2 tan dengan nilai RM63 juta.
13 Ditahan Termasuk Juruterbang TUDM
Terdahulu, polis mengesahkan seramai 13 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang didakwa mengeksploitasi kemudahan penerbangan tentera.
Mereka terdiri daripada tujuh anggota dan pegawai TUDM serta enam orang awam, termasuk dua koordinator sindiket, dengan tangkapan dibuat di sekitar Lembah Klang, Labuan dan Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, sebelum ini memaklumkan bahawa seorang juruterbang TUDM yang ditahan dipercayai berperanan sebagai koordinator dan transporter.
Kes ini berkait dengan penemuan 96.6 kilogram syabu bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan membawa bekalan dadah dari Subang ke Labuan dan Tawau, namun pihak polis tidak menolak kemungkinan ia turut dibawa ke destinasi lain.
Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk berhubung upah yang diterima oleh suspek.
The post Syabu 3 Tan Bernilai RM70 Juta Diseludup Melalui Dua Pangkalan TUDM Sejak Dua Tahun appeared first on Oh! Media.