sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Sarawak fokus aspek penginapan menjelang ISG 2029
Kuala Lumpur: Pengalaman luas Bojan Hodak dalam kancah bola sepak tempatan diyakini mampu membantu memperkuatkan skuad Harimau Malaya sekali gus memberi dimensi baharu kepada pasukan kebangsaan.
Keyakinan itu disuarakan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yang menyambut baik pelantikan Hodak sebagai ketua jurulatih baharu skuad senior negara selepas melihat sendiri kemampuan pengendali dari Croatia itu ketika pernah bekerja bersama beliau.
Safee yang pernah mendapat sentuhan Hodak ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2014 berkata, pelantikan itu adalah perkembangan positif dalam usaha meningkatkan kekuatan Harimau Malaya untuk menghadapi cabaran lebih besar.
Malah, kedua-duanya sekali lagi bergandingan ketika bersama Kuala Lumpur City FC (KL City) pada musim 2021 hingga 2022 yang menyaksikan Hodak berjaya menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia kepada pasukan itu.
Bukan itu sahaja, Hodak turut membawa KL City mencipta sejarah apabila muncul naib juara Piala AFC 2022 sebelum tewas kepada kelab Oman, Al Seeb pada aksi final.
“Beliau amat sesuai untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan. Saya menyokong pelantikan ini dan melihatnya sebagai satu perkembangan yang baik untuk memperkuatkan Harimau Malaya.
“Saya pernah mendapat sentuhan beliau ketika bersama JDT dan KL City. Jadi, saya percaya pengalaman serta kemampuan yang dimiliki Hodak boleh membantu meningkatkan kekuatan pasukan kebangsaan.
“Saya berharap kehadiran beliau mampu membawa Harimau Malaya ke tahap lebih baik dan menjadikan pasukan negara lebih kompetitif,” katanya.
Selasa lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menamatkan teka-teki pengendali baharu Harimau Malaya apabila secara rasmi melantik Hodak untuk mengambil alih tugas membimbing skuad kebangsaan, sekali gus menggantikan Peter Cklamovski yang meninggalkan pasukan pada Jun lalu.
Ketiadaan Cklamovski menyaksikan Pengarah Teknikal skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe diberikan tanggungjawab sebagai pengendali interim.
Sepanjang lima bulan Cheng Hoe membimbing pasukan, skuad negara berjaya mencipta kebangkitan khususnya dalam saingan Piala ASEAN FIFA di Jakarta pada Oktober lalu, apabila menamatkan saingan di tangga ketiga dengan menewaskan gergasi rantau ini iaitu Vietnam selain Singapura serta mengikat Indonesia di Gelora Bung Karno.
© New Straits Times Press (M) Bhd