LATEST
National

Sinner terlepas Terbuka Australia 2027

Sinner terlepas Terbuka Australia 2027

MELBOURNE: Hasrat Jannik Sinner untuk kembali memburu kejuaraan Terbuka Australia tidak kesampaian apabila pemain nombor dua dunia itu disahkan tidak akan beraksi pada edisi 2027 susulan pembedahan lutut kanan.

Baca juga: “Saya Harap Kita Berdua Temui Ketenangan” – Julia Farhana Sah Bercerai

Pemain Itali berusia 25 tahun itu terpaksa melupakan kejohanan di Melbourne Park selepas menjalani pembedahan di sebuah klinik di Finland, minggu ini, bagi merawat kecederaan yang mengganggu kariernya.

Sinner yang muncul juara pada 2024 dan 2025, tidak beraksi sejak menjuarai Wimbledon buat kali kedua pada Julai lalu, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai peluangnya menyertai Grand Slam pembukaan musim itu.

Ketua Tenis Australia, Andrew Abdo, mengesahkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan.

“Kami sentiasa berhubung dengan pasukan Jannik dan mereka mengesahkan beliau tidak akan bersama kami pada Terbuka Australia Januari ini susulan pembedahan baru-baru ini.

“Jannik amat gemar beraksi di Melbourne dan tidak sabar untuk kembali pada Terbuka Australia 2028. Kami mendoakan agar proses pemulihannya berjalan lancar dan berharap dapat melihatnya kembali ke gelanggang tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan kepada AFP.

Pakar menganggarkan Sinner mungkin perlu berehat sehingga tiga bulan, sekali gus menyaksikan penampilan semula paling awalnya berkemungkinan pada siri kejohanan gelanggang keras Amerika Syarikat, termasuk Indian Wells dan Miami Masters pada Februari hingga Mac.

Sebelum dibelenggu kecederaan, Sinner menikmati musim cemerlang dengan meraih lima gelaran Masters 1000 selain kejuaraan Wimbledon.

Rekod kemenangan 94 peratus yang dicatatnya sepanjang 2026 juga menjadi pencapaian terbaik dalam kariernya.

Ketiadaan Sinner menyaksikan Alexander Zverev mengambil alih kedudukan pemain nombor satu dunia.

Dalam kenyataan mengumumkan pembedahannya Selasa lalu, Sinner berkata, beliau bersama pasukannya sudah mencuba pelbagai kaedah rawatan tanpa pembedahan sejak beberapa bulan lalu.

“Selepas menunjukkan perkembangan yang cukup positif pada peringkat awal, lutut saya malangnya tidak memberikan tindak balas seperti diharapkan.

“Justeru, saya menjalani pembedahan kecil hari ini bagi memperbaiki keadaan jalur iliotibial saya,” katanya.

Terbuka Australia 2027 dijadual bermula pada 17 Januari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news