sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Sejak dua tahun lalu! Syabu lebih RM70 juta diseludup melalui dua pangkalan TUDM
Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli memasang tekad untuk menutup kempen Kejuaraan Motosikal Dunia 2026 dengan keputusan membanggakan apabila turun beraksi pada Grand Prix (GP) Valencia, hujung minggu ini.
Hakim Danish mahu menjadikan perlumbaan terakhir musim ini sebagai medan untuk menampilkan prestasi lebih kompetitif selepas menamatkan GP Portugal di kedudukan ke-16, minggu lalu.
Mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI, pelumba berusia 19 tahun itu kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan kutipan 125 mata dan berpeluang memperbaiki kedudukannya pada pusingan penutup di Litar Ricardo Tormo nanti.
Hakim Danish bukanlah asing dengan litar berkenaan apabila pernah beraksi di sana musim lalu sebagai pelumba gantian MT Helmets-MSI, menggantikan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka yang mengalami kecederaan.
Pada penampilan itu, Hakim Danish berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14, sekali gus memiliki sedikit pengalaman mengenai karakter litar yang bakal dihadapinya hujung minggu ini.
Bagaimanapun, pelumba itu mengakui masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan persediaan lebih mantap menjelang perlumbaan.
“Saya sangat teruja untuk memulakan saingan hujung minggu ini dan sudah tentu lebih bersemangat untuk mendapatkan keputusan lebih baik selepas agak kecewa dengan prestasi pada perlumbaan sebelum ini.
“Saya akan bekerja keras bermula sesi latihan bebas pertama (FP1) sehingga perlumbaan sebenar, kekal fokus, memberikan 100 peratus komitmen dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan terbaik,” katanya.
Hakim Danish turut mengakui perlu menyesuaikan diri dengan pantas terhadap keadaan litar dan cuaca, selain meneliti semula bahagian yang menjadi kelemahannya sebelum ini.
“Bagi perlumbaan di litar Valencia, saya tahu sebelum ini saya agak bergelut di trek ini. Jadi, saya akan meneliti semula beberapa bahagian yang menjadi kelemahan, cuba memperbaikinya serta menyesuaikan diri dengan cepat terhadap keadaan cuaca dan litar.
“Saya berharap semua dapat mendoakan kejayaan saya pada perlumbaan hujung minggu ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd