LATEST

Tukar status tanah peneroka Felda kepada milikan kekal

Tukar status tanah peneroka Felda kepada milikan kekal

MARAN: Peneroka tanah di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memohon supaya tanah yang diusahakan dan didiami mereka diberikan status milikan kekal berbanding pajakan 99 tahun ketika ini.

Penerima Pingat Emas pertama Felda, Md. Nen Kassim, 85, berkata, pertukaran status itu penting bagi menjamin masa depan tanah peneroka tidak terjejas walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

Baca juga: Peluang Hakim Danish kutip mata di Valencia

Katanya, meskipun urusan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, penyelarasan dasar antara kerajaan Persekutuan dan negeri amat penting bagi membolehkan cadangan itu dilaksanakan di semua 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara.

“Saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan perkara ini dengan serius kerana pengorbanan generasi peneroka amat besar terhadap pembangunan negara sejak lebih enam dekad lalu,” katanya ketika ditemui di Felda Jengka 1 di sini, hari ini.

Seorang lagi peneroka Felda Jengka 1, Abdul Rahman Dolaji, 88, berkata, tanah rancangan bukan sekadar aset ekonomi, malah khazanah orang Melayu yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Tanah peneroka biarlah kekal menjadi milik orang Melayu selagi ada bintang dan matahari. Pemberian geran kekal amat berbaloi selepas kami meninggalkan Melaka dan menempuh pelbagai kesukaran ketika mula menjadi peneroka,” katanya yang menerima geran tanah daripada Kerajaan Pahang pada 12 April 2010 dengan tempoh pajakan berakhir pada 22 Oktober 2090.

Sementara itu, bekas Ketua Peneroka Felda Jengka 4, Wan Mustaffa Roni Wan Hayat, 79, memberitahu, pemberian geran kekal penting bagi memperkukuh kedudukan hak milik tanah peneroka tanpa terlalu bergantung kepada dasar kerajaan semasa.

“Iklim politik sentiasa berubah. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Sebab itu hak milik tanah perlu diperkukuhkan supaya cucu cicit peneroka hingga generasi keempat dan kelima terus menikmati tanah pusaka yang dibangunkan oleh datuk nenek mereka,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Felda diharap dapat mengadakan rundingan menyeluruh bagi mencari mekanisme terbaik menukar status pajakan 99 tahun kepada geran kekal demi menjamin masa depan lebih 100,000 keluarga peneroka. – UTUSAN

The post Tukar status tanah peneroka Felda kepada milikan kekal appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news