Intipati Berita
- Hannah Yeoh mengesahkan pembantunya dipanggil ke SPRM berhubung isu pajakan tanah KLSCAH.
- Menurut Hannah, tiga pegawai SPRM hadir ke pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam.
- Pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dilaporkan diluluskan dengan premium nominal RM1,000, berbanding anggaran awal RM4.67 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, mengesahkan pembantunya dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi ini.
Baca juga: 10,207 sekolah bawah KPM sudah nikmati liputan 4G – Fahmi
Panggilan itu berhubung isu pajakan tanah Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Hannah mengesahkan perkara tersebut menerusi perkongsian di media sosialnya, dan memaklumkan bahawa tiga pegawai SPRM telah mengunjungi pejabatnya di Jabatan Wilayah Persekutuan semalam.
KLSCAH. Ya saya mengesahkan tiga pegawai SPRM hadir di pejabat saya di Jabatan Wilayah Persekutuan.
Mereka meminta pembantu saya hadir ke SPRM pagi ini bagi membantu siasatan.
Premium RM1,000 Berbanding Anggaran RM4.67 Juta
Pada 14 November lalu, kerajaan dilaporkan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH bagi tempoh 99 tahun dengan premium nominal sebanyak RM1,000, berbanding anggaran awal RM4.67 juta.
Dua hari kemudian, Hannah memaklumkan bahawa pengurangan premium itu mengambil kira perubahan kategori kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata, tanah tersebut dikhususkan untuk kegunaan institusi dan warisan, dan ini antara faktor yang dipertimbangkan ketika menilai rayuan KLSCAH untuk mendapatkan pengurangan premium.
Sebelum itu, pada 14 September lalu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan dilaporkan meluluskan penyerahan balik dan pemberimilikan semula tanah berkenaan untuk kegunaan institusi.
Keputusan tersebut kemudian mencetuskan gesaan agar proses penilaian tanah serta justifikasi pengurangan premium dijelaskan dengan lebih telus kepada orang ramai.
Bangunan Warisan Kebangsaan

Bangunan KLSCAH telah diisytiharkan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan pada 2007.
Pada tahun berikutnya, Jabatan Warisan Negara memperuntukkan RM500,000 untuk kerja-kerja pemuliharaan bangunan tersebut.
The post Hannah Yeoh Sahkan Pembantu Dipanggil SPRM Berhubung Isu Pajakan Tanah KLSCAH appeared first on Oh! Media.