LATEST

The Last Reunion: Sembilu 2.0 bawa kejutan di lokasi bersejarah

The Last Reunion: Sembilu 2.0 bawa kejutan di lokasi bersejarah

Kuala Lumpur : Susulan sambutan menggalakkan terhadap penganjuran konsert Sembilu pada Februari lalu, TJTM Entertainment kembali dengan skala lebih besar menerusi Sembilu 2.0 The Last Reunion Live In Concert yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka, pada 16 Januari depan.

Baca juga: Hannah Yeoh Sahkan Pembantu Dipanggil SPRM Berhubung Isu Pajakan Tanah KLSCAH

Mengangkat tema The Last Reunion, konsert berkenaan menghimpunkan kembali nostalgia fenomena filem Sembilu yang pernah mencipta sejarah dalam industri hiburan tanah air, sambil membawa pertemuan yang disifatkan sebagai istimewa dan sukar berulang.

Penganjuran edisi kali ini diterajui oleh TJTM Entertainment di bawah naungan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, yang sebelum ini pernah menerajui penganjuran konsert Sembilu serta 40 Dekad Fauziah Latiff di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut jurucakap penganjur, pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi konsert mencerminkan usaha penganjur membawa produksi tersebut ke tahap lebih tinggi dari segi skala persembahan, konsep, susunan muzik serta pengalaman penonton di sebuah venue bersejarah.

“Pihak penganjur turut menjanjikan pilihan lagu yang lebih mantap dan susunan muzik baharu bagi menghidupkan kembali momen romantis, konflik, persahabatan serta emosi yang sinonim dengan karya Sembilu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menariknya, identiti penuh barisan artis yang bakal terlibat masih dirahsiakan buat masa ini bagi mengekalkan elemen eksklusif dan kejutan sebelum sidang media rasmi diadakan pada 16 Disember depan.

Jualan tiket rasmi konsert yang bermula jam 8.30 malam itu akan dibuka pada jam 12 tengah hari esok menerusi laman sesawang ilassotickets.

Harga tiket ditawarkan mengikut kategori bermula serendah RM159 hingga RM1,399.

Bagi menghargai peminat dan mengutamakan keselesaan penonton, penganjur menawarkan beberapa keistimewaan termasuk kategori kusyen istimewa percuma bagi setiap pembelian tiket di luar kategori arena (Pasrah, Setiaku Di Sini, Cinta Abadi, Madah Berhelah dan Puncak Kasih).

Diskaun lima peratus ‘early bird’ pembelian awal selama seminggu bermula tarikh jualan tiket dibuka.

Selain potongan 10 peratus khusus untuk pembeli tiket konsert Sembilu terdahulu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news