Bekas pegawai polis, Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila menamakan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai antara responden dalam permohonan semakan kehakiman bagi mencabar pemecatannya daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut laporan Malaysiakini, permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Oktober lalu menerusi Tetuan M Manoharan & Co itu turut menamakan lembaga tatatertib PDRM, suruhanjayanya serta kerajaan sebagai responden.
Baca juga: “Kita Saling Menyakiti Tanpa Sengaja…” – Julia Farhana Sah Cerai
Berita itu melaporkan, Sheila bukan sahaja mahu keputusan pemecatannya dibatalkan, malah menuntut pembayaran semua tunggakan gaji, emolumen, elaun, bonus serta faedah kewangan lain sejak tarikh pemecatannya sehingga dikembalikan ke jawatan.
Dia turut memohon supaya dikembalikan ke dalam pasukan polis dengan mengekalkan pangkat Inspektor tanpa sebarang penurunan pangkat, selain memperoleh semula segala faedah dan kelayakannya sebagai penjawat awam.
Dakwa tidak diberi peluang membela diri
Sheila yang berkhidmat dalam pasukan polis sejak 2016 dipecat pada 3 Ogos lalu susulan dua keputusan tatatertib membabitkan keseluruhan 23 pertuduhan.
Bagaimanapun, menerusi afidavit sokongannya, dia mendakwa tidak pernah dimaklumkan mengenai empat daripada pertuduhan berkenaan sebelum menerima surat pada tarikh pemecatannya.
“Jelas sekali, saya tidak dapat membela diri terhadap pertuduhan yang tidak pernah dimaklumkan kepada saya.
“Saya dinasihati oleh peguam saya, dan saya sesungguhnya percaya bahawa tindakan tersebut adalah terbatal dan menyalahi undang-undang.
“Keputusan responden adalah tidak teratur dari segi prosedur, tidak munasabah, tidak wajar, dan pada asasnya tidak adil kepada saya,” katanya.
Foto arkib: Bernama
Dakwa representasi tidak diambil kira
Berhubung 19 pertuduhan tatatertib lain yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku antara 2017 hingga 2019, Sheila mendakwa telah mengemukakan representasi pada 23 April 2024 bagi menjawab setiap pertuduhan tersebut.
Namun, dia mendakwa jawapan berkenaan tidak diambil kira meskipun telah diterima oleh Pejabat Pendaftaran Siasatan Jenayah Komersial pada 24 April tahun sama.
“Saya amat terkejut apabila menerima notis hukuman tatatertib, yang menyatakan bahawa responden pertama dan kedua tidak menerima representasi saya, walaupun pejabat tersebut sebenarnya menerimanya pada 24 April 2024.
“Saya mengambil langkah seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa (dalam menjawab dakwaan tersebut).
“Namun, keputusan untuk memecat saya daripada perkhidmatan dibuat kemudiannya tanpa mengambil kira representasi saya,” ujarnya.
Hilang sumber pendapatan, reputasi terjejas
Sheila turut mendakwa pemecatan tersebut bukan sahaja menyebabkan dia kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, malah memberikan kesan terhadap reputasi profesional serta peluang kerjayanya pada masa hadapan.
Selain menuntut dikembalikan ke jawatan asal, dia turut memohon ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta faedah lima peratus setahun ke atas ganti rugi.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Indra Nehru membenarkan permohonan kebenaran Sheila untuk meneruskan semakan kehakiman selepas pihak responden tidak membantah permohonan tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah belum menetapkan tarikh prosiding selanjutnya dan belum membuat keputusan mengenai kesahihan pemecatan berkenaan.
Sumber: Malaysiakini