am@hmetro.com.my
Baca juga: JKN Kedah kesan bakteria, bahan kimia dalam air minuman diproses tanpa lesen di Yan
Kuala Terengganu: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM14.99 juta bagi membantu 5,101 usahawan dan peniaga kecil meningkatkan kapasiti serta produktiviti perniagaan menerusi bantuan peralatan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah penerima itu adalah sebahagian daripada 12,499 permohonan yang diterima bagi Skim Usahawan Bangkit bermula Januari hingga Isnin lalu.
Katanya, Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2027 turut meningkatkan peruntukan geran di bawah skim berkenaan sebanyak RM200 juta.
“Peruntukan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam usaha memperkasakan usahawan terutamanya membabitkan golongan B40 dan peniaga kecil sebagai antara penggerak utama ekonomi rakyat.
“Kerajaan menyarankan usahawan dan peniaga kecil memberi penekanan kepada kepentingan pendigitalan bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan,” katanya ketika berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit peringkat negeri, di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keunikan produk dan perusahaan berasaskan marin serta pelancongan perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai kekuatan ekonomi yang berpotensi menembusi pasaran lebih luas.
Katanya, antara produk unik dihasilkan usahawan dan peniaga kecil di Terengganu termasuk songket, batik dan keropok lekor yang mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke peringkat lebih tinggi.
“Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.04 juta kepada 380 usahawan dan peniaga kecil di seluruh Terengganu,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut mengumumkan kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.49 juta bagi pelaksanaan kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti membabitkan 11 institusi pendidikan Islam di seluruh negeri termasuk enam sekolah tahfiz di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh institusi pendidikan Islam serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat.
“Peruntukan kepada institusi pendidikan Islam diluluskan seiring dengan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd