
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tiba di Istana Hinggap di sini pada pukul 1.18 petang tadi bagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Kemudian, kenderaan yang membawa Tuanku Muhriz dilihat memasuki perkarangan istana berkenaan pada pukul 1.30 petang.
Baca juga: Cadangan jualan BPlant dibangkitkan di Dewan Rakyat: PAC digesa siasat
Turut dilihat memasuki perkarangan istana berkenaan ialah kenderaan yang membawa Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tengku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, pertemuan itu berlangsung ketika timbul desas-desus bahawa Ismail akan mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar dalam sesi menghadap berkenaan.
Sementara itu, tiga pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka akan mengadap Tuanku Muhriz pada pukul 3 petang ini.
Tiga pemimpin parti berkenaan adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Perkembangan itu sekali lagi menjadi perhatian susulan persoalan mengenai status peletakan jawatan Ismail yang menjadi perbincangan sejak minggu lalu.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Negeri Sembilan dijangka bakal mempunyai seorang Menteri Besar yang baharu bagi menggantikan Datuk Ismail Lasim.
Ia selepas kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan difahamkan akan ditentukan pada minggu ini selepas semua 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Perikatan Nasional (PN) berpendirian hilang kepercayaan terhadapnya.
Ismail sebelum dilaporkan berkata beliau tidak pernah mengemukakan atau memberikan persetujuan terhadap surat peletakan jawatannya yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar.
Perkara itu turut disahkan Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban pada Jumaat lalu.
Pada 16 November lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengumumkan bahawa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.
Namun, Istana Negeri Sembilan pada keesokan harinya memaklumkan ketulenan surat yang dihantar pada pukul 12.16 tengah malam itu masih belum disahkan. – UTUSAN
The post Ismail Lasim tiba di Istana Hinggap appeared first on Utusan Malaysia.