zaky@bh.com.my
Kuala Lumpur: Defisit perdagangan komponen automotif negara yang meningkat kepada RM33.8 bilion pada 2025 berbanding kira-kira RM13 bilion pada 2020, mendorong Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menilai semula pendekatan pemberian insentif pemasangan tempatan (CKD) industri berkenaan.
Baca juga: SPRM didakwa amal siasatan ‘dua darjat’ – Guan Eng
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pendekatan insentif yang dilaksanakan sejak 30 hingga 40 tahun lalu perlu diperbaiki kerana tidak menghasilkan impak seperti diharapkan, khususnya dalam membangunkan pengeluar komponen tempatan.
Beliau berkata, kelemahan utama pendekatan terdahulu ialah pemantauan terhadap pelaksanaan CKD yang tidak dilakukan secara berkesan, menyebabkan sesetengah pengeluar mengambil jalan mudah dengan mengimport komponen berbanding membangunkan pengeluaran sendiri di negara ini.
Katanya, struktur CKD sebelum ini membabitkan tiga peringkat iaitu Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3, namun pengeluar boleh mendapatkan pengiktirafan kandungan tempatan melalui gabungan komponen yang sebenarnya masih bergantung kepada import.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mahu merangka insentif yang lebih berkesan dengan memberikan ganjaran lebih tinggi kepada syarikat yang benar-benar menghasilkan komponen di Malaysia, berbanding hanya memenuhi pengisytiharan kandungan tempatan.
“Kalau yang Tahap 3 tidak, Tahap 2 tidak, tetapi Tahap 1 benar-benar melakukannya, kita akan beri ganjaran kepada Tahap 1. Mereka mungkin mendapat lebih banyak insentif kerana usaha itu benar-benar berkesan,” katanya pada sidang media sempena majlis pemulaan operasi CKD BYD di Malaysia, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma dan Pengarah Urusan Sime Motors Southeast Asia, Jeffrey Gan.
Mengulas lanjut, Johari berkata, pendekatan baharu itu juga bertujuan menarik lebih banyak pengeluar automotif antarabangsa membawa teknologi dan bekerjasama dengan syarikat tempatan dalam penghasilan komponen, sekali gus meningkatkan penyertaan industri domestik.
Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya terlalu menumpukan sasaran peratusan kandungan tempatan yang tinggi sekiranya angka berkenaan tidak menggambarkan pengeluaran sebenar di negara ini.
Sebaliknya, katanya, kandungan tempatan sebenar pada kadar 10 peratus lebih bermakna berbanding pengisytiharan 60 hingga 70 peratus yang tidak mencerminkan tahap pengeluaran sebenar, kerana pembangunan keupayaan industri boleh dilaksanakan secara berperingkat.
“Kerjasama antara pengeluar automotif antarabangsa dengan syarikat tempatan juga berpotensi membolehkan pengeluar komponen domestik berkembang menjadi pengeksport serantau, khususnya ke pasaran ASEAN,” katanya.
Beliau memberi contoh BYD yang mempunyai teknologi dan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), sekali gus berpotensi menjadi rakan kerjasama kepada pemain tempatan dalam membangunkan keupayaan industri komponen.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari menjelaskan kenderaan BYD yang dipasang secara tempatan atau CKD tidak tertakluk kepada had jualan 10,000 unit seperti yang dibangkitkan.
Katanya, tiada had jualan dikenakan bagi kenderaan CKD dan jumlah jualannya bergantung kepada permintaan pembeli.
Beliau turut menjelaskan insentif bagi kenderaan elektrik (EV) yang dipasang secara tempatan akan tamat tahun depan, dengan kenderaan berkenaan selepas itu tertakluk kepada pendekatan insentif biasa seperti kenderaan lain.
Mengulas pembangunan industri automotif tempatan, Johari berkata, Proton Holdings Bhd (PROTON) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) kini menghasilkan gabungan kira-kira 450,000 kenderaan, selain membangunkan rantaian bekalan yang membabitkan 703 syarikat pengeluar komponen.
Katanya, industri itu turut membangunkan kandungan tempatan sehingga 60 hingga 70 peratus serta menyediakan kira-kira 700,000 peluang pekerjaan, justeru ekosistem sedia ada perlu terus diperkukuh menerusi kerjasama dengan pengeluar antarabangsa.
Mengenai dasar insentif automotif baharu, Johari berkata, keputusan berkaitan dasar itu sudah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri, namun tidak memberikan tarikh khusus pelancarannya.
Katanya, kerajaan perlu membuat keputusan berdasarkan kepentingan pembangunan ekonomi jangka panjang walaupun pelaksanaan sesuatu dasar mungkin menyebabkan sedikit kesukaran dalam tempoh pendek.
© New Straits Times Press (M) Bhd