bhnews@bh.com.my
Baca juga: JKN Kedah kesan produk minuman dicemari bakteria, bahan kimia
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan mempertimbangkan penyertaan Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICPPED), selain menggubal undang-undang khusus bagi menangani isu berkenaan.
Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus, berkata langkah itu penting susulan beberapa kes kehilangan paksa di negara ini termasuk membabitkan Pastor Raymond Koh, aktivis Amri Che Mat serta pasangan Joshua Hilmi dan Ruth Sitepu.
Beliau berkata, ketiadaan undang-undang khusus di peringkat domestik ketika ini menyebabkan pihak berkuasa terpaksa bergantung kepada peruntukan sedia ada di bawah Kanun Keseksaan apabila berdepan kes kehilangan paksa.
“Harapan SUHAKAM supaya kerajaan mengambil tindakan supaya Malaysia menjadi pihak kepada konvensyen ini dan diikuti pula dengan suatu perundangan yang khusus untuk mengendalikan kes-kes kehilangan paksa.
“Melalui penyertaan sebagai negara pihak, kita dapat menyelaraskan undang-undang domestik bagi mencegah kes-kes seperti ini daripada berulang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SUHAKAM dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Pejabat SUHAKAM, di sini, hari ini.
Mengulas kesesuaian konvensyen berkenaan untuk disertai Malaysia, Mohd Hishamudin berpandangan perkara itu tidak sepatutnya menjadi halangan kerana ICPPED tidak menyentuh sensitiviti agama.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 78 negara di seluruh dunia sudah menjadi negara pihak kepada konvensyen yang mula berkuat kuasa pada 2010 itu.
Di rantau ASEAN, hanya Kemboja dan Thailand mengesahkan penyertaan penuh, manakala Laos dan Indonesia sudah menandatanganinya.
Mengulas perkembangan kes kehilangan Pastor Raymond Koh yang kini di peringkat rayuan mahkamah, beliau berkata, SUHAKAM tidak boleh mengulas merit kes berkenaan, namun terus memantau perkembangannya.
“Siasatan di peringkat SUHAKAM sudah lama selesai dan laporan penuh berserta syor, terutamanya keperluan menjalankan siasatan yang telus sudah dikemukakan kepada kerajaan serta boleh diakses oleh orang ramai.
“Harapan SUHAKAM adalah supaya keluarga Pastor Raymond Koh mendapat keadilan yang sewajarnya. Dari segi kemanusiaan, selagi tiada jawapan, pihak keluarga terus tertanya-tanya dan tidak mendapat keadilan,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memerintahkan pembayaran ganti rugi harian RM10,000 sehingga keberadaan Pastor Raymond Koh ditemui.
Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM3 juta kepada isteri Amri Che Mat selepas memutuskan kedua-dua pihak bertanggungjawab terhadap kehilangan aktivis berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga Julai lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM37 juta kepada keluarga Raymond Koh dan RM3 juta kepada keluarga Amri sementara menunggu rayuan kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd