LATEST

BYD SHARK 6 model pertama dipasang di Malaysia

BYD SHARK 6 model pertama dipasang di Malaysia

zaky@bh.com.my

Baca juga: RM1.497 juta perkasa institusi pendidikan Islam dan tahfiz Terengganu

Kuala Lumpur: BYD Malaysia dan Sime Motors memulakan operasi pemasangan kenderaan secara tempatan (CKD) di Malaysia menerusi pemilihan BYD SHARK 6 sebagai model pertama yang akan dipasang di fasiliti Inokom Corporation (Inokom), Kulim, Kedah.

Perkembangan itu menandakan langkah penting dalam memperkukuh kehadiran jangka panjang jenama automotif dari China itu di pasaran tempatan, selain membuka ruang kepada pengembangan portfolio produknya di Malaysia.

Kerjasama berkenaan turut menyokong aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), khususnya pembangunan ekosistem Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV), pengukuhan keupayaan pembuatan tempatan dan peningkatan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian nilai automotif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelaburan pemain automotif global seperti BYD bukan saja membawa masuk kenderaan dan teknologi baharu, malah mewujudkan persaingan sihat serta menggalakkan inovasi dalam industri automotif negara.

Beliau berkata, kerajaan turut mahu melihat pembangunan ekosistem lebih kukuh bagi menyokong peralihan industri, merangkumi aspek pembuatan tempatan, pembangunan bakat serta penyediaan infrastruktur seperti kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) ultra-pantas.

“Pembangunan kemudahan dan ekosistem berkenaan penting bagi meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap penggunaan kenderaan elektrik, selain membuka peluang baharu kepada industri automotif tempatan, syarikat perniagaan dan pengguna,” katanya pada sidang media sempena majlis permulaan operasi CKD BYD di Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma dan Pengarah Urusan Sime Motors Southeast Asia, Jeffrey Gan.

Sementara itu, Ma berkata, Malaysia mempunyai potensi besar kepada syarikat itu bukan saja sebagai pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) yang semakin berkembang, tetapi juga dari segi keupayaan industri automotif, tenaga kerja mahir dan peluang pengembangan perniagaan.

Beliau berkata, kemudahan pemasangan tempatan itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang BYD untuk Malaysia, dengan kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan hubungan lebih rapat dengan industri tempatan.

“Langkah ini bukan hanya mengenai pemasangan kenderaan, tetapi juga usaha untuk membina kerjasama yang lebih rapat dengan industri tempatan, berkongsi teknologi dan kepakaran serta mencipta peluang bagi pemindahan ilmu dan kemahiran,” katanya.

Pemilihan BYD SHARK 6 sebagai model pertama pemasangan tempatan turut memperluas penyertaan syarikat itu dalam segmen kenderaan pikap pacuan empat roda (4×4), sekali gus membawa teknologi elektriknya ke kategori kenderaan berbeza.

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2025, model berkenaan menerima maklum balas menggalakkan dan sambutan positif daripada pelanggan tempatan, sekali gus membuka peluang kepada BYD untuk menjangkau kumpulan pelanggan baharu.

Operasi CKD itu akan dilaksanakan di Inokom, kemudahan milik Sime Motors di Kulim, yang mempunyai infrastruktur pemasangan kenderaan, tenaga kerja berpengalaman serta rangkaian pembekal tempatan sedia ada.

Asas operasi berkenaan menyediakan platform kepada BYD untuk membangunkan pemasangan tempatan, selain membuka peluang meningkatkan penglibatan pemain industri domestik dalam aktiviti pembuatan automotif.

Dalam pada itu, Gan berkata, syarikat itu mempunyai keupayaan pembuatan kukuh, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta rangkaian pembekal tempatan yang mantap bagi menyokong pelaksanaan operasi berkenaan.

“Kekuatan berkenaan apabila digabungkan dengan kepakaran dan aspirasi BYD membolehkan kerjasama itu membuka lebih banyak peluang kepada rakan industri serta menyokong usaha Malaysia berkembang sebagai hab pembuatan automotif serantau yang berdaya saing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news