LATEST

Konflik Asia Barat: Empat fokus utama kerajaan lindungi rakyat – Armizan

Konflik Asia Barat: Empat fokus utama kerajaan lindungi rakyat – Armizan

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan pelbagai ikhtiar yang antara lain berteraskan empat fokus utama dalam mendepani implikasi konflik Asia Barat yang berlarutan sehingga kini.Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, empat fokus berkenaan meliputi rasionalisasi fiskal, keterjaminan rantaian bekalan, kemampanan industri dan perniagaan tempatan serta pengurusan kos sara hidup.”Rasionalisasi fiskal termasuk langkah-langkah kawalan perbelanjaan dan ketahanan serta penerusan momentum pertumbuhan ekonomi.”Keterjaminan rantaian bekalan strategik dan barangan keperluan pengguna domestik meliputi usaha mendapatkan sumber bekalan alternatif,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.Beliau berkata demikian menjawab soalan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai jangkaan kesan konflik Amerika Syarikat-Iran dan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos sara hidup rakyat Malaysia.Armizan berkata, fokus ketiga melibatkan kemampanan industri dan perniagaan tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam menghadapi tekanan kos termasuk penyediaan sumber pembiayaan.Tambahnya, fokus keempat pula melibatkan pengurusan kos sara hidup meliputi penstabilan harga barangan dan perkhidmatan serta pendapatan sara hidup rakyat termasuk penyaluran peruntukan subsidi selain bantuan tambahan.Menurut beliau, Malaysia turut menerima kesan konflik berkenaan kerana pusat penapisan minyak dalam negara bergantung kepada bekalan minyak mentah domestik dan import dengan hampir 40 peratus bekalan datang melalui Selat Hormuz.Katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersidang setiap minggu bagi meneliti implikasi konflik dan mengenal pasti strategi selain pendekatan intervensi serta mitigasi yang perlu dilaksanakan.Armizan turut berkongsi, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan kadar inflasi dunia meningkat daripada tiga peratus pada 2025 kepada 4.7 peratus tahun ini.”Sehingga Oktober 2026, inflasi Malaysia masih kekal stabil dengan kadar 1.9 peratus bagi bulan Oktober 2026 berbanding Filipina (7.8 peratus), Vietnam (5.1 peratus), Thailand (3.9 peratus) dan Indonesia (3.2 peratus),” ujarnya.Menjawab soalan tambahan, beliau berkata, kerajaan akan terus memantau implikasi konflik Asia Barat selain memperkukuh pelaksanaan strategi dan pendekatan berteraskan empat fokus berkenaan merentasi semua kementerian.Katanya, keberkesanan tindakan segera kerajaan dapat dilihat menerusi bekalan bahan api, barangan keperluan pengguna dan industri yang tidak pernah terputus, tiada keperluan pencatuan barangan keperluan selain inflasi kekal rendah serta stabil.Tegas beliau, kerajaan akan meneruskan pelbagai strategi dan pendekatan bagi menangani isu kos sara hidup termasuk menerusi Ikhtiar Belanjawan 2027 dan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30).

Latest news