WCE Holdings Berhad (WCEHB) mencatatkan pertumbuhan hasil kutipan tol sebanyak enam peratus bagi suku kedua tahun kewangan 2027 (S2 TK2027) disokong peningkatan trafik organik di seksyen Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang telah beroperasi.Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix berkata, pertumbuhan berterusan hasil kutipan tol itu mencerminkan perkembangan positif trafik di seksyen Projek WCE yang telah beroperasi.”Kami menyambut baik pertumbuhan berterusan hasil kutipan tol yang mencerminkan pertumbuhan trafik yang positif di seksyen Projek WCE yang telah beroperasi.”Perkembangan ini mengukuhkan lagi keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang WCE sebagai koridor pengangkutan utama di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.Tambahnya, seiring dengan Projek WCE yang semakin menghampiri fasa penyiapan, pihaknya komited memastikan baki seksyen disiapkan mengikut jadual di samping meningkatkan kecekapan operasi dan kesalinghubungan bagi pengguna lebuh raya.Bagi suku kedua TK2027, WCEHB mencatatkan jumlah hasil sebanyak RM154.8 juta kekal stabil berbanding RM154.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya.Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026 (6B TK2027), hasil WCEHB menurun sebanyak 46 peratus berbanding tempoh sama tahun kewangan sebelumnya, terutamanya disebabkan hasil pembinaan Projek WCE yang lebih rendah selaras dengan pengurangan aktiviti pembinaan apabila projek semakin menghampiri fasa penyiapan.WCEHB mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM50.4 juta bagi S2 TK2027 dan RM83.8 juta bagi 6B TK2027, berbanding masing-masing RM35.9 juta dan RM70.5 juta pada suku dan tempoh sama tahun sebelumnya.Peningkatan kerugian itu terutamanya disebabkan kos pembinaan tambahan berikutan pelaksanaan program percepatan kerja bagi Seksyen 7B.Bagaimanapun, WCEHB terus merekodkan EBITDA positif sebanyak RM15.6 juta bagi S2 TK2027 dan RM47.2 juta bagi 6B TK2027 disokong sumbangan hasil berulang daripada operasi tol.Bagi segmen konsesi, hasil kutipan tol masing-masing meningkat enam peratus bagi S2 TK2027 dan sembilan peratus bagi 6B TK2027 berbanding tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.Pertumbuhan itu terutamanya didorong peningkatan trafik organik di seksyen WCE yang telah beroperasi.Sementara itu, hasil pembinaan dalam segmen konsesi masing-masing menurun 15 peratus bagi S2 TK2027 dan 69 peratus bagi 6B TK2027 berbanding tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.Penurunan itu mencerminkan pengurangan aktiviti pembinaan apabila Projek WCE semakin menghampiri fasa penyiapan.Dalam tempoh suku ditinjau, aktiviti pembinaan tertumpu terutamanya kepada baki kerja pembinaan Seksyen 3 dan Seksyen 7.Segmen konsesi mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM33.8 juta bagi S2 TK2027, kekal stabil berbanding suku sama tahun sebelumnya.Bagi 6B TK2027, kerugian sebelum cukai segmen konsesi berkurangan kira-kira tiga peratus kepada RM65.2 juta berbanding RM67.1 juta pada tempoh sama tahun kewangan sebelumnya, disokong terutamanya oleh peningkatan hasil kutipan tol.Dalam pada itu, segmen pembinaan menerusi WCE Maju Sdn. Bhd., cabang pembinaan WCEHB kini melaksanakan baki kerja pembinaan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta Seksyen 7B Projek WCE.Hasil pembinaan bagi S2 TK2027 dan 6B TK2027 masing-masing meningkat 24 peratus dan 15 peratus berbanding tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.Peningkatan itu didorong terutamanya aktiviti pembinaan yang dipergiatkan di Seksyen 7B Projek WCE serta baki empat Kawasan Rehat dan Rawat dalam tempoh suku ditinjau.Segmen pembinaan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM15.3 juta bagi S2 TK2027 dan RM15.1 juta bagi 6B TK2027.Kerugian itu terutamanya berpunca daripada kos tambahan berikutan pelaksanaan program percepatan kerja, termasuk peningkatan harga bahan binaan dan bahan api serta perubahan reka bentuk.Pada masa ini, lapan daripada keseluruhan 11 seksyen WCE telah beroperasi, meliputi jajaran sepanjang 180 kilometer merentasi Selangor dan Perak.Di Selangor, seksyen yang telah beroperasi ialah Seksyen 1 Banting – South Klang Valley Expressway (SKVE), Seksyen 2 SKVE – Shah Alam Expressway (KESAS), Seksyen 5 New North Klang Straits Bypass – Bandar Bukit Raja Utara dan Seksyen 6 Bandar Bukit Raja Utara – Assam Jawa.Di Perak pula, seksyen yang telah beroperasi ialah Seksyen 8 Hutan Melintang – Teluk Intan, Seksyen 9 Lekir – Changkat Chermin, Seksyen 10 Changkat Chermin – Beruas dan Seksyen 11 Beruas – Taiping Selatan.Kerja pembinaan bagi baki Seksyen 3 (KESAS – Laluan Persekutuan 2) dan Seksyen 7 (Assam Jawa – Tanjong Karang) sedang giat dilaksanakan, manakala Seksyen 4 (Laluan Persekutuan 2 – Pintasan Selat Klang Utara Baharu), yang telah siap sepenuhnya, dijadualkan dibuka bersama-sama Seksyen 3.Dengan keseluruhan jajaran WCE disasarkan beroperasi sepenuhnya pada awal 2027, WCEHB menjangkakan peningkatan kesalinghubungan rangkaian jalan raya akan terus menyokong pertumbuhan trafik dan hasil kutipan tol sekali gus menyumbang secara positif kepada aliran tunai operasi serta kemampanan kewangan jangka panjang kumpulan.Kumpulan kekal komited untuk menyiapkan baki seksyen Projek WCE di samping memperkukuh operasi tol.
Hasil kutipan tol WCEHB meningkat 6 peratus pada S2 TK2027
Malay News | https://www.malay.news/hasil-kutipan-tol-wcehb-meningkat-6-peratus-pada-s2-tk2027/