LATEST
Social Media

Sindiket dadah TUDM: Pangkat, kedudukan bukan ‘tiket’ terlepas tindakan -Saifuddin

Sindiket dadah TUDM: Pangkat, kedudukan bukan ‘tiket’ terlepas tindakan -Saifuddin

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbukti terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah menggunakan kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), termasuk mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Menerusi satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan, beberapa nama individu yang berpotensi mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan sudah dikenal pasti berdasarkan taklimat awal yang diterimanya.

Baca juga: Mansuh MSSD, MSSM bukan jalan penyelesaian isu guru tak masuk kelas – Fadhlina

Jawatan, kedudukan bukan penghalang

Beliau memberi jaminan bahawa tindakan undang-undang akan diambil tanpa mengira pangkat, jawatan mahupun kedudukan seseorang individu.

“Saya beri jaminan bahawa sesiapa pun yang ditangkap dalam beberapa hari akan datang tidak akan terlepas daripada tindakan, tidak kira apa jua jawatan atau kedudukan mereka.
“Berdasarkan taklimat awal yang diberikan kepada saya, terdapat beberapa nama yang berpotensi terlibat, termasuk individu yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, dan tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Siasatan diperluas, tidak tolak penggunaan SOSMA

Dalam pada itu, Saifuddin memaklumkan siasatan yang kini dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 akan diperluaskan bagi membongkar keseluruhan rangkaian jenayah berkenaan.

Ujarnya, pihak berkuasa juga tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya terdapat unsur jenayah terancang.

“Pada masa ini, siasatan masih berjalan. Namun, jika terdapat unsur jenayah terancang, kita akan menggunakan segala peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk SOSMA.
“Kita akan memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan organisasi sindiket ini serta peranan setiap individu yang terlibat, termasuk pembiaya, perancang, pengangkut dan penghantar dadah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan memandang serius kegiatan tersebut kerana ia bukan sekadar membabitkan jenayah dadah, malah melibatkan penyalahgunaan kemudahan dan aset strategik negara.

“Ini bukan sahaja melibatkan kesalahan jenayah yang serius, malah berpotensi menjejaskan integriti institusi keselamatan dan pertahanan negara,” tegas beliau.

Ketua sindiket masih bebas

Saifuddin turut mendedahkan seramai 13 individu telah ditahan menerusi operasi pada 17 dan 19 November lalu, membabitkan lima pegawai TUDM, dua anggota lain-lain pangkat serta enam orang awam.

Walau bagaimanapun, ketua sindiket berkenaan masih bebas meskipun identitinya sudah dikenal pasti pihak berkuasa.

“Kita merampas 96.64 kilogram metamfetamin bernilai RM4.83 juta dan ketua sindiket masih bebas. Kita telah mengenal pasti individu berkenaan dan saya yakin tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Menurut beliau lagi, hasil siasatan awal turut mendapati sindiket berkenaan merupakan sebahagian daripada rangkaian jenayah besar yang sudah lama bertapak.

Sebahagian daripada ahlinya juga sebelum ini telah ditangkap, didakwa dan dipenjarakan, manakala selebihnya masih bebas.

Kegiatan penyeludupan itu dipercayai didorong oleh keuntungan lumayan apabila harga metamfetamin di pasaran antarabangsa mampu mencecah sehingga RM450,000 sekilogram, berbanding RM50,000 di pasaran tempatan.

Sumber: Facebook Saifuddin Nasution Ismail

More in Social Media

View all

Latest news