LATEST
Social Media

Isu tanah KLSCAH, pembantu Hannah Yeoh dilapor dipanggil SPRM

Isu tanah KLSCAH, pembantu Hannah Yeoh dilapor dipanggil SPRM

Seorang pembantu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dilapor dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Dalam laporannya pada 25 Nov, Sin Chew Daily memetik beberapa sumber tanpa nama yang berkata pembantu itu dipanggil untuk memberi keterangan pada 26 Nov. Difahamkan tiga pegawai SPRM mengunjungi pejabat Yeoh pada pagi 25 Nov.

Baca juga: Perlu sedia berkhidmat di pedalam! PM Anwar gesa guru jangan memilih lokasi penempatan

Dua hari sebelum laporan itu diterbitkan, Yeoh mempertahankan penetapan premium tanah KLSCAH pada kadar nominal RM1,000 berbanding anggaran awal RM4.67 juta. Beliau memberi penjelasan ketika menggulung perbahasan usul Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, di Kamar Khas Dewan Rakyat pada 23 November.

Menurut Yeoh, keputusan itu diluluskan oleh jawatankuasa tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara.

Katanya, kadar berkenaan ditetapkan mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995, dengan mengambil kira sekatan penggunaan tanah dan status bangunan KLSCAH sebagai warisan kebangsaan sejak 2007.

Yeoh turut mendakwa latar belakang politiknya mempengaruhi perhatian yang diberikan terhadap isu itu. Beliau turut menyenaraikan tujuh pertubuhan lain yang pernah menerima kadar premium nominal RM1,000 di Kuala Lumpur, termasuk Yayasan Tuanku Bainun, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Yeoh juga berkata hasil sewaan dewan KLSCAH menampung kurang daripada 20 peratus kos operasi dan penyelenggaraan pertubuhan itu.

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Wilayah Persekutuan, jawatankuasa tanah meluluskan permohonan serah balik dan pemberimilikan semula tanah itu bagi kegunaan institusi pada 14 September 2026, dengan tempoh pajakan sehingga 99 tahun. Surat kelulusan bertarikh 1 Oktober menetapkan premium pada RM1,000, manakala cukai tanah tahunan ditetapkan pada RM3,151.

Yeoh berkata keputusan itu mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk memelihara warisan dan mercu tanda bersejarah di Kuala Lumpur.

Sumber: malaysiakini

More in Social Media

View all

Latest news